Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

21:06 0

KALI ketiga berkunjung ke Malaysia, Simple Plan masih mampu mempertahankan empayar muziknya sendiri apabila KL Live, Kuala Lumpur penuh sesak dengan kehadiran lebih 2000 peminat setianya.


Konsert Get Your Heart On! Tour Live In Malaysia yang berlangsung dalam suasana sederhana dan santai itu bagaimanapun berjaya meninggalkan impak tersendiri khususnya buat pengikut muzik mereka.


Kesimpulan yang mampu menggambarkan keseluruhan konsert itu selepas hampir dua jam beraksi, Simple Plan cukup bertenaga dan bijak menghiburkan peminat mereka baik dari aspek susunan lagu mahupun komunikasi si penyanyinya, Pierre Bouvier.

Malah petang sebelum konsert berlangsung, Bouvier sudah menjanjikan sebuah persembahan yang istimewa dan momen indah buat peminat setia mereka walaupun mengakui kesemua mereka masih mengalami gangguan ritma (Jetlag) kerana terlalu padat dengan jadual persembahan jelajah.





“Kami menjelajah lebih 10 bandar di Asia termasuk Filipina, Indonesia, Singapura, Hong Kong dan Jepun. Malah sebelum ini kami sudah penat menjelajah kesemua bandar utama di Eropah dan Amerika Syarikat sendiri. Jadual kami memang padat hingga terpaksa bergerak merentas negara setiap hari tanpa sempat berehat.





“Konsert seluruh dunia ini memang untuk mempromosikan album keempat kami, Get Your Heart On! yang saya sifatkan sebuah album penuh cerita dan kenangan indah.

“Saya sangat mengharapkan peminat akan menerima rangkaian lagu kami kali ini dan terhibur dengan persembahan kami,” katanya yang begitu bijak melayan peminat yang tidak henti menjerit.

Simple Plan menyampaikan 18 rangkaian lagu yang dipetik daripada empat buah album studio mereka.

Antara lagu yang dipersembahkan termasuklah Shut Up sebagai pembuka tirai, Thank You, Summer Paradise, I’m Just A Kid, Addicted, Welcome To My Life, Jet Lag dan banyak lagi.

Simple Plan melabuhkan tirai konsert menerusi lagu yang memperkenalkan mereka di sini iaitu Perfect.

Berlatarkan susunan dan kualiti muzik yang mantap serta penggunaan pentas dan pencahayaan pada tahap maksimum, kredibiliti dan komitmen kumpulan terkenal ini tidak perlu ditanya lagi.

Tanpa bantuan pemuzik lain atau penari dan penyanyi latar, Simple Plan mampu memberikan sebuah persembahan yang padat dan kuat buat peminatnya.

Konsert Simple Plan ini dibawakan oleh TuneTalk dengan kerjasama JS Concert Productions dan Fat Boys. Kedatangan kumpulan ini adalah sebahagian daripada kempen siri konsert ‘No Big Deal Lah’.




0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button