CHINA yang tidak menyenaraikan pemenang emas Sukan Olimpik Beijing, Lin Dan pada pusingan kelayakan Piala Thomas di Macau 13-19 Februari depan, nampaknya cuba memastikan jaguhnya itu cergas di Seluruh England dan mengelak daripada keletihan.
Negara Tembok Besar yang sudah mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Thomas selaku juara bertahan piala itu menurunkan Chen Long, Chen Jin dan dua perseorangan remaja, Du Pengyu dan Wang Zhengming.
Malah pasukan China itu yang memutuskan untuk mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan semata-mata kerana mahu memungut mata untuk kelayakan ke Olimpik London Julai depan, tidak menghantar beregu terbaik mereka Cai Yun-Fu Haifeng sekali gus tugasan itu diberi kepada Guo Zhendong-Chai Biao manakala dua lagi pasangan dipilih daripada beregu remaja.
Ketika China sekadar menurunkan barisan muda, Malaysia tetap mempertaruhkan Datuk Lee Chong Wei untuk mengelak daripada negara terpalit aib andai tidak layak ke pusingan akhir buat kali pertama.
Tugasan kali ini bukan mudah untuk pasukan negara kerana hanya Chong Wei yang mempamerkan prestasi konsisten sedangkan beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong semakin tumpul. Malah barisan beregu lain yang disenaraikan juga tidak konsisten apatah lagi dua nama yang disenaraikan Hoon Thien How dan Teo Kok Siang belum pulih sepenuhnya dari kecederaan.
Indonesia pula menurunkan barisan terkuat yang diketuai Simon Santoso sebagai perseorangan utama diikuti Taufik Hidayat, Tommy Sugiarto dan Dionysius Hayom Rumbaka.
Jika berdepan pasukan negara, satu mata daripada mana-mana tiga perseorangan sudah pasti mereka miliki apa lagi dengan kekuatan tiga pasangan beregu diketuai Bona Septano-Mohamad Ahsan, Alvent Yulianto-Hendra Aprida dan Markis Kido-Hendra Setiawan.
Jepun juga bakal memberi saingan getir buat skuad negara dengan ramalan satu mata mampu diraih mereka daripada perseorangan lelaki selepas membariskan pemain perseorangan Sho Sasaki, Kenichi Tago, Kazushi Yamada dan Takuma Ueda.
Manakala beregu yang disenaraikan Jepun pula diketuai Noriyasu Hirata-Hirokatsu Hashimoto, Shoji Sato-Naoki Kawamae dan Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa.
Korea Selatan pula menyenaraikan lima perseorangan dan lima pemain beregu dijangka mampu memungut dua mata menerusi perseorangan dan dua menerusi beregu.
Perseorangan pertama Lee Hyun Il mungkin tidak mampu menggugat Chong Wei andai Korea bertemu dengan Malaysia tetapi empat lagi perseorangan Park Sung Hwan, Shon Wan Ho, Hong Ji Hoon dan Park Sung Min boleh menggugat Muhd Hafiz Hashim, Liew Daren dan Mohd Arif Latif.
Mereka juga mampu bergantung harapan kepada Lee Yong Dae-Jung Jae Sung, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong dan Shin Baek Cheol dalam beregu.
Dalam pada itu, Korea membatalkan hasrat untuk menghantar pasukan Piala Uber kerana mereka layak sebagai juara bertahan.
Namun China nampaknya mengambil pendekatan memberi pendedahan awal kepada pemain mereka kerana tiga pemain perseorangan wanita yang mengungguli tiga tempat teratas ranking dunia juga “disimpan” biarpun mereka belum mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Uber.
Dalam senarai yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu juga China nampaknya merehatkan beregu utama wanita Wang Xiaoli-Yu Yang serta tiga perseorangan wanita yang menduduki tiga tempat teratas dunia, Wang Yihan, Wang Xin dan Wang Shixian, namun mereka tetap tampak berbahaya.
Sebagai tuan rumah, China juga sudah layak secara automatik. Sekiranya mereka berada di kelompok empat teratas selepas tamat pusingan kelayakan, pasukan di tempat kelima akan mendapat hak untuk beraksi di pusingan akhir yang akan berlangsung di Wuhan, China Mei depan.
Ketiadaan Korea juga membuka sedikit peluang buat skuad Piala Uber negara tetapi ketiadaan pemain perseorangan wanita yang kuat mungkin membantut harapan untuk beraksi di China.
0 comments