KLANG – Beberapa lokasi di daerah ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko ancaman denggi dan orang ramai diminta sentiasa peka dengan tahap kebersihan di kawasan terbabit.
Pengarah Jabatan Komunikasi Dan Pengaduan Awam (JKPA) Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz berkata, antara kawasan itu adalah Pulau Ketam,Bandar Armada Putra,Pekan Pandamaran dan Pandamaran Jaya.
Menurutnya, bagi kawasan Klang Selatan,lokasi yang perlu diberi perhatian adalah Taman Bayu Perdana, Pangsapuri Palma, Bandar Botanik, Taman Sentosa dan Pangsapuri Prima Bayu.
“Sementara it untuk Klang Utara dua tempat dikenal pasti berisiko adalah di Kondominium Bandar Baru Klang dan Taman Eng Ann serta di Taman Klang Utama (Kapar) dan Taman Bayu Meru.
“Penduduk di kawasan berkenaan juga diingatkan untuk sentiasa berwaspada kerana ia semakin berisiko dengan faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Norfiza berkata, MPK sentiasa mengadakan semburan di lokasi yang terlibat dan pemeriksaan termasuk di rumah kedai, tapak binaan, sekolah, kilang serta tempat yang memberi ancaman kepada masyarakat sekitar.
Menurutnya, dua kematian dicatatkan pada tahun lalu iaitu di Batu Belah dan Taman Bayu Perdana namun peningkatan kes dari Oktober hingga Disember perlu diberi perhatian oleh semua pihak yang terlibat. – mynewshub.my
0 comments