Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

12:03 0
 
SHAH ALAM - “Ayah saya sedang bersiap untuk menghadiri majlis makan malam sewaktu khabar angin mengatakan beliau meninggal dunia."

Demikian kata Muhammad Amsyari, anak sulung Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, ketika menafikan berita kematian ayahnya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Amsyari, beliau mendapat khabar angin itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon daripada kenalannya, kira-kira jam 1 pagi.


“Anak mana yang tidak terkejut apabila mendengar berita kehilangan insan tersayang. Inikan pula ayah dengan mak (Puan Sri Suriati Md Sobri) berada di London.

“Selepas mendapat berita itu, saya terus menghubungi mak bagi mendapatkan penjelasan sebenar. Mujur ia hanya khabar angin.

“Pagi tadi, selepas selesai solat Subuh, saya dapat bercakap dengan ayah dan ibu. Syukur, mereka sihat dan selamat,” katanya.

Menurutnya, kira-kira jam 1 petang semalam, beliau sekali lagi menghubungi ibunya bagi bertanya khabar, biarpun sudah menyedari berita yang tersebar itu hanya palsu.

“Ayah dan mak juga terkejut dengan berita tersebut. Mak memaklumkan ketika itu ayah sedang bersiap untuk ke majlis makan malam,” katanya.

Amsyari terkilan dengan penyebaran khabar angin tersebut yang sedikit sebanyak membuatkan hati keluarganya tidak tenteram.

“Saya hanya mampu berdoa untuk keselamatan dan kesihatan ayah dan mak,” katanya.

Ismail berlepas ke United Kingdom Rabu lalu untuk lawatan kerja.

Khabar angin itu juga dinafikan oleh Polis Diraja Malaysia dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sendiri.

Dalam rangka lawatan itu, beliau akan menyampaikan taklimat mengenai keselamatan di Malaysia, di samping mengikuti taklimat khas yang akan disampaikan oleh barisan kepimpinan tertinggi polis di United Kingdom.

Beliau juga akan dibawa melawat pameran peralatan keselamatan terkini dikhaskan kepada pihak berkuasa dan keselamatan masyarakat yang memfokuskan kepada tiga aspek, iaitu jenayah dan kepolisan, keselamatan dan menentang keganasan serta keselamatan sempadan.

0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button