ISU kegagalan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat melaporkan diri bagi menjalani latihan bersama skuad Olimpik disifat lebih kepada salah faham dan dianggap selesai selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tampil menjelaskan situasi sebenar.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sudah memberikan pelepasan kepada Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan panggilan Apek bagi menyertai latihan skuad Olimpik tetapi harus kembali bersama pasukan Kelantan dalam tempoh 48 jam sebelum perlawanan menentang Kuala Lumpur, malam esok.
“Apek sepatutnya perlu melaporkan diri pada 25 Januari (kelmarin) di Wisma FAM tetapi menyangka perlu melaporkan diri selepas perlawanan Kelantan menentang Kuala Lumpur di Kota Bharu, pada Sabtu ini.
“Saya sudah meminta pihak pengurusan Kelantan dan Apek sendiri menghubungi ketua jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik demi kepentingan bersama semua pihak,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan kegagalan penjaga gol berusia 23 tahun itu melaporkan diri untuk menjalani sesi latihan bagi menghadapi perlawanan Kumpulan C Kelayakan Olimpik menentang Bahrain pada 5 Februari depan. Kim Swee dilaporkan memberi pelepasan kepada enam pemain luar termasuk penjaga gawang Kelantan itu pulang sehari sebelum perlawanan membabitkan pasukan masing-masing esok.
Sementara itu Setiausaha Agung Kafa, Azman Ibrahim berkata, masalah komunikasi yang terputus berikutan cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru Cina menjadi punca berlakunya salah faham membabitkan kegagalan Khairul Fahmi melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad Olimpik itu.
“Di Kelantan, cuti hujung minggu kita jatuh pada Jumaat dan Sabtu manakala di Kuala Lumpur, cuti panjang bermula dari Sabtu hingga Selasa. Kita pula menerima berita mengenai Apek perlu melaporkan diri bersama skuad Olimpik pada pagi Rabu.
“Kita cuba mendapatkan tiket penerbangan bagi membolehkan dia menyertai latihan pada hari itu juga tetapi malangnya semua penerbangan sudah penuh. Jadi hari ini (semalam) kita sudah mendapatkan tiket penerbangan bagi membolehkannya ke Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, ketika dihubungi Apek mengesahkan akan melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad Olimpik di Wisma FAM selepas majikannya berjaya mendapatkan tiket penerbangan tengah hari semalam.
0 comments