Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

03:14 0


MELBOURNE: Rafael Nadal sekali lagi membuktikan kehebatannya untuk menewaskan Roger Federer biarpun menerima tentangan sengit sebelum mara ke perlawanan akhir Terbuka Australia, semalam.

Pemain Sepanyol itu menang 6-7 (5/7), 6-2, 7-6 (7/5), 6-4 sekali gus menambah derita musuh utamanya yang kini tewas lapan kali sepanjang 10 pertemuan Grand Slam manakala Nadal belum pernah ditewaskan pada kejohanan utama sejak Wimbledon 2007.



Juara 16 Grand Slam dari Switzerland itu dipaksa bekerja keras oleh Nadal yang kali terakhir menewaskannya pada perlawanan akhir di Melbourne pada 2009 selepas bertarung lima set namun hasratnya untuk membalas dendam di gelanggang Arena Rod Laver akhirnya gagal.

“Bagi saya ia seperti mimpi apabila dapat kembali beraksi di final,” kata Nadal.



“Ia satu penghormatan apabila dapat bertemu Federer dan perlawanan ini cukup menakjubkan. “Ia sesuatu yang hebat apabila berdepan dengan seorang pemain yang tidak melakukan kesalahan serta mempamerkan satu permainan sempurna.” Nadal yang sudah merangkul 10 gelaran Grand Slam, akan bertemu pemenang pertemuan juara bertahan, Novak Djokovic atau pemain Britain,
Andy Murray pada perlawanan akhir, Ahad ini.



Federer mempamerkan aksi tenis yang sempurna pada permulaan perlawanan namun permainannya mula goyah apabila lawan mula memberi tekanan dan menamatkan perlawanan dengan 63 kesilapan.


Federer yang memburu gelaran Grand Slam pertama dalam tempoh dua tahun, langsung tidak melepaskan sebarang set sehinggalah aksi separuh akhir namun Nadal yang memegang rekod pertemuan 18-9, sekali lagi membuktikan dia mempunyai kelebihan berbanding Federer pada kejohanan utama.



Perlawanan itu adalah yang ke-10 membabitkan Nadal dan Federer dalam aksi Grand Slam, menyamai rekod Ivan Lendl dan John McEnroe bagi pertembungan terbanyak pada kejohanan utama. - AFP




0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button