MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai Yang Berhormat.
“Sudah lebih 30 tahun saya bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) iaitu bermula pada 1982 dan sudah berbelas tahun sebagai Ahli Parlimen,” katanya.
Abdul Hadi berkata, sekiranya tidak bertanding mana-mana kerusi, beliau boleh bergerak ke seluruh negara untuk memantapkan parti.
Bagaimanapun, Adun Rhu dan Ahli Parlimen Marang ini menawarkan bertanding satu kerusi sahaja sekiranya dipilih sebagai calon dalam PRU13 nanti.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian dalam satu temu bual eksklusif ketika ditemui di rumahnya selepas menyampaikan ceramah di Masjid Rusila, Marang, di sini.
“Terpulang kepada parti untuk menilai kerusi mana yang sesuai untuk saya sama ada Dun atau Parlimen,” katanya yang menyerahkan kepada keputusan parti untuk menentukan sama ada beliau bertanding atau sebaliknya.
Beliau menganggap ramai pemimpin pelapis dalam parti itu yang boleh membantu membawa hala tuju parti pada masa depan.
Katanya, pembabitannya dalam politik sezaman dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya kebetulan mengikuti parti sejak zaman Tun, zaman generasi kedua (Pak Lah) sampailah kini.
“Saya diberi amanah kepimpinan dan kerusi pada usia terlalu muda, saya menjadi Naib Presiden dalam usia 30-an, sudah terlalu lama,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menolak desas-desus anaknya Mohammad Khalil Abdul Hadi, 30an, bakal dicalonkan dalam PRU13.
“Biar dia jadi ahli biasa buat masa ini,” katanya.
0 comments