KUALA LUMPUR – Anak syarikat milik penuh Public Bank Bhd. (Public bank), Public Mutual hari ini mengumumkan pengagihan untuk empat daripada dananya.
Public Mutual melalui satu kenyataan memberitahu, pengagihan kasar yang diumumkan untuk dana-dana itu adalah bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Januari 2012.
“Pengagihan kasar itu adalah Public Dana Index (6.25 sen seunit), Public Dana Islamic Optimal Growth (1.50 sen seunit), Public Dana Enhanced Bond (3.75 sen seunit) dan Public Dana Money Market (2.50 sen seunit),” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, Public Dana Index merupakan dana ekuiti yang bermatlamat mencapai pertumbuhan modal jangka panjang dan pada masa yang sama berusaha mengatasi FTSE Bursa Malaysia Top 100 Index.
Sementara itu, Public Dana Islamic Optimal Growth sebuah dana ekuiti Islam yang menyediakan pendapatan dan pertumbuhan modal dengan melabur dalam saham-saham patuh Syariah yang menawarkan hasil dividen menarik serta saham pertumbuhan di pasaran domestik.
Jelas kenyataan itu, kedua-dua dana itu terbuka untuk Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selain itu, bagi dana Public Dana Enhanced Bond pula menyediakan kombinasi pendapatan tahunan dan pertumbuhan modal yang sederhana terutama melalui portfolio peruntukan bon dan ekuiti berkualiti.
Manakala, Public Dana Money Market adalah bermatlamat untuk menyediakan kecairan dan pendapatan semasa dan pada masa yang sama mengekalkan kestabilan modal.
Tambah kenyataan itu, kesemua dana terbabit diedarkan oleh perunding-perunding unit amanah Public Mutual. – mynewshub.my
0 comments