Bukan mudah untuk bermuhasabah dan mengaku kesilapan atau kesalahan yang pernah dilakukan oleh diri kita sendiri sepanjang kehidupan ini.
Dan sekiranya kita sedar tentang kekhilafan diri pun, adalah bukan mudah bagi kita untuk merubah tabiat atau sikap negatif yang bersarang di dalam diri kita.
Sebenarnya, jauh di dalam hati kecil kita tahu bahawa kelakuan kita itu salah dan tidak wajar.
Namun hanya kerana ego dan sikap mengambil mudah, kita cepat lupa tentang sifat-sifat murni yang pernah menjadi pegangan asas nenek moyang serta menyalahi ketetapan agama.
Antara sifat-sifat negatif yang semakin membarah di kalangan masyarakat kita ialah tidak lagi menghormati orang yang lebih tua, tiada rasa malu dan tidak merujuk kepada agama untuk setiap permasalahan yang dihadapi.
Islam mengajar kita untuk menghormati kedua ibu bapa, khususnya kepada ibu yang melahirkan kita, hinggakan berkata ‘uh!’ kepada ibu pun sudah dianggap berdosa besar dan cuba ingat kembali berapa kali kita semua berkata ‘uh!’ kepada ibu kita setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan.
Kerap? Jarang-jarang? Atau kadang-kadang?
Sedarkah bahawa kita kerap derhaka dan berdosa besar kepada kedua ibubapa?
Dahulu di zaman kegemilangan Islam, tokoh-tokoh seperti Imam Al-Ghazali, Imam Muslim, Imam Bukhari, As-Shafie, Hambali, Hanafi atau Imam Malik sanggup berjalan beribu batu demi menghormati guru serta ilmu yang diperoleh.
Dahulu di zaman ibu bapa kita, mereka sangat menghormati guru dan taat pada setiap arahan yang diberikan.
Namun di zaman ini, para pelajar sekolah berani menumbuk, terajang dan belasah guru-guru yang mencurahkan ilmu kepada mereka.
Itu belum lagi disebut mengenai cerca nista, penghinaan dan carutan yang dihamburkan, malah ada ramai di kalangan pelajar yang mempermain-mainkan guru-guru mereka seolah-olah para pendidik itu boleh diperkotak-katikkan begitu saja.
Sekiranya kita derhaka kepada ibubapa dan tidak lagi menghormati guru, bagaimanakah ilmu yang dicurahkan kepada kita akan berkat?
Bila tidak berkat, tidak hairanlah ramai di kalangan kita yang bersikap kurang ajar, kan?
Rasulullah SAW menegaskan di dalam hadis baginda bahawa perasaan malu itu merupakan sebahagian dari petanda iman.
Dalam ertikata lain, antara sifat mereka yang beriman itu ialah mereka punya perasaan malu di dalam diri mereka.
Dahulu di zaman 50’an, 60’an atau 70’an, meskipun Islam belum begitu kuat pengaruh dan amalannya, anak-anak gadis atau pemuda di zaman itu tahu menjaga maruah diri serta mempunyai sifat malu yang tinggi.
Misalnya, pemudi di zaman itu hanya berani keluar ke pekan sekiranya bertemankan ibu atau bapa mereka serta tidak sanggup angkat muka sekiranya berselisih dengan pemuda-pemuda di tepi jalan, hanya kerana malu.
Tahap kesopanan para pemuda pemudi di zaman itu juga tinggi dan mereka begitu menjaga kelakuan mereka di khalayak ramai.
Nak ber’dating’ pun mereka tak berani dan yang paling kuat pun untuk meluahkan rasa rindu ialah melalui surat atau tengok bumbung rumah kekasih masing-masing.
Namun kini, bukan setakat berkhalwat, berzina di tepi semak pun sanggup!
Kalau kisah-kisah ditangkap basah di hotel-hotel murah tak payah cakaplah, bersepah!
Malah lebih meruncingkan keadaan apabila ada segelintir pelajar sekolah yang begitu berani merakamkan aksi lucah dan persetubuhan mereka di telefon bimbit serta menjual aksi mereka itu kepada kenalan lain!
Dimanakah perasaan malu dan maruah generasi yang bersikap seperti ini?
Salah siapakah ini? Guru? Ibubapa? Atau diri kita sendiri?
Sekiranya persoalannya ini diberikan kepada ibu bapa, mereka akan menuding jari kepada guru-guru di sekolah dan begitu juga di sebaliknya.
Jarang-jarang sekali kita akan menuding jari kepada diri sendiri atas kemelut moral yang semakin teruk di kalangan generasi kini dan bayangkan apa akan jadi kepada generasi akan datang sekiranya dibiarkan terus menghantui masyarakat negara ini.
Hakikatnya, setiap permasalahan itu ada jalan penyelesaiannya dan sebagaimana sabda Rasulullah SAW bahawa pada setiap penyakit itu ada penawarnya.
Justeru itu pada pandangan penulis, hanya satu sahaj jalan terbaik yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah itu atau gejala-gejala lain yang berkait rapat dengan sikap dan kerohanian.
Kembalilah kepada ajaran Islam melalui Al-Quran dan Sunnah yang menberikan jalan yang sempurna kepada setiap umat Islam ke jalan yang lebih baik dan diredhai Allah, insyaallah selamat semuanya.
Kita semua perlu sedar bahawa apabila kita menganut agama Islam, maka sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk mentaati segala ajaran mahupun larangan yang ditetapkan agama, manakala undang-undang dan perlembagaan hanyalah merupakan sampingan kepada ketamadunan sesebuah negara.
Penulis yakin dengan pendekatan spiritual melalui Islam dan digabungkan dengan gerakan transformasi yang bersungguh-sungguh oleh kerajaan, masyarakat negara ini mampu melahirkan generasi yang jauh lebih baik dari rakyat negara maju seperti Amerika Syarikat atau Jepun.
Pokok pangkalnya ialah sama ada mahu atau tidak saja, kan?
Sumber: ZAMZUKHAIRI NOORDIN
0 comments