KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa keengganan segelintir Menteri dan Timbalan Menteri mengisytiharkan harta secara terbuka mendatangkan masalah kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam memerangi rasuah.
Justeru, kata beliau, kerajaan disaran supaya mewajibkan semua Menteri dan Timbalan Menteri mengisytiharkan harta mereka secara terbuka bagi menunjukkan keberanian kerajaan untuk menangani rasuah.
“Seorang Timbalan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri telah mewajarkan keengganan beliau dengan mempersoalkan kenapa Exco Pulau Pinang ambil masa empat tahun mengisytiharkan harta secara terbuka.
“Tidakkah mereka berasa malu kerana Kerajaan Pulau Pinang melakukan demikian selepas empat tahun di bawah pakatan pembangkang sedangkan Barisan Nasional tidak melakukannya selepas 55 tahun,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Guan Eng seterusnya mendakwa, pengisytiharan harta Exco Pulau Pinang baru-baru ini merangkumi aset dan liabiliti mereka sehingga 31 Januari tahun lalu.
Malah, dakwa beliau, pengisytiharan harta itu dibuat secara terbuka dan dimuat naik ke dalam Internet serta disahkan sebuah firma audit dan akauntan bebas, KPMG. – mynewshub.my
0 comments