KLANG – Kewujudan I-Kiosk Bayaran EMBPS (Express Micro Bill Payment System) di Bangunan Majlis Perbandaran Klang (MPK) memudahkan pengguna untuk membayar cukai taksiran.
Pemangku Yang Di Pertua MPK, Ehsan Mukri berkata, kiosk itu beroperasi 24 jam dan mula beroperasi awal tahun lalu dan kini melalui beberapa proses penambahbaikan untuk keselesaan pelanggan.
Menurutnya, orang ramai tidak lagi perlu beratur panjang seperti sebelum ini dan kiosk yang berkonsepkan mesra pengguna itu mudah digunakan oleh semua peringkat umur.
“MPK prihatin dengan keperluan semasa dan kiosk ini menerima reaksi positif daripada penduduk setempat tentang kemudahan yang majlis tawarkan ini.
“Selain itu, kiosk ini juga mempunyai ciri-ciri keselamatan yang berkualiti dan ia sentiasa dikemaskini serta mampu menyimpan data setiap akaun pelanggan dengan teliti,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Ehsan berkata, kiosk itu juga boleh menerima bayaran dalam bentuk tunai, cek, kad kredit dan kad debit serta dan pada masa sama MPK menyediakan panduan untuk memudahkan orang ramai berurusan.
Menurutnya, pihak MPK berharap penduduk memanfaatkan kewujudan kiosk itu bagi menjimatkan masa pengguna di samping memperkenalkan inovasi dan kemudahan terkini MPK dalam menuju Bandar Raya Cemerlang 2015. – mynewshub.my
0 comments