KUALA LUMPUR – Bilangan majikan yang gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja mereka menurun kepada 1.36 peratus pada Oktober hingga Disember tahun lalu berbanding 1.49 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, penurunan itu ekoran tindakan tegas yang dilakukan oleh pihak penguatkuasaan KWSP dalam menangani perkara tersebut sebelum ini.
“Demi melindungi simpanan persaraan ahli, KWSP akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak melaksanakan tanggungjawab membayar caruman bulanan KWSP,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Affendi berkata, pada Oktober hingga Disember tahun lalu seramai 152 majikan dikenakan denda terkumpul berjumlah RM149,950 oleh mahkamah kerana tidak membayar caruman KWSP pekerja mereka.
Menurut beliau, denda untuk kesalahan itu adalah antara RM2,200 dan RM6,000
Selain itu, katanya, sebanyak 216 kes sivil dan 678 kes jenayah ke atas majikan dan pengarah syarikat yang tidak mencarum telah difailkan di mahkamah dan KWSP turut mengemukakan 457 nama pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen bagi menahan mereka daripada meninggalkan negara sebelum menjelaskan tunggakan caruman.
Jelasnya, KWSP akan mengambil tindakan lanjut termasuk melevi atau saman sivil jika majikan terbabit berterusan gagal menyelesaikan tunggakan terbabit.
Justeru, katanya, ahli KWSP dinasihatkan supaya sentiasa menyemak akaun KWSP mereka untuk memastikan bayaran caruman oleh majikan betul dan dalam tempoh ditetapkan.
Menurutnya, penyata akaun KWSP ahli boleh didapati dengan mudah menerusi i-Akaun, kios atau di cawangan KWSP berdekatan.
Tambahnya, ahli perlu mendapatkan penjelasan segera daripada majikan atau membuat laporan di cawangan KWSP terdekat atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-89226000 jika terdapat keraguan dalam akaun KWSP mereka.
“Ahli KWSP juga boleh membuat laporan secara `online’ melalui laman web myEPF di http://enquiry.kwsp.gov.my,” katanya lagi. – mynewshub.my
0 comments