JURULATIH Kelantan, Peter Butler enggan mengulas lanjut kedudukan penjaga golnya dan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang tiada bersama skuad Olimpik negara menjalani latihan, menjelang pusingan kelayakan menentang Bahrain pada 5 Februari depan.
Menurutnya, hanya Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa yang layak mengeluarkan kenyataan.
Dilaporkan ketiadaan Khairul Fahmi untuk menjalani latihan bersama skuad Olimpik mulai kelmarin turut menjadi tanda tanya kepada jurulatih Ong Kim Swee.
Butler berkata beliau tidak menghalang Khairul Fahmi yang lebih mesra dengan panggilan Apek untuk menyertai latihan bersama skuad Olimpik kerana itu adalah tanggungjawabnya kepada negara. “Namun saya tak mahu komen kerana itu bukan keputusan saya. Kalau dia mesti pergi dan mewakili pasukan negara, saya faham,” katanya kepada Bernama, semalam.
Namun pada masa sama, Butler tetap mengharapkan kehadiran Apek dalam skuad Red Warriors.
“Saya juga perlukan Fahmi kerana dia sudah lama bermain bersama Mat Yo (penyerang Norshahrul Idlan Talaha). Kita mesti fikir kebajikan mereka tapi saya tak mahu komen untuk pasukan kebangsaan, anda tanya Tan Sri (Annuar Musa),” katanya.
0 comments