Sentuhan kreatif pereka muda, Syaiful Baharim menjadi pilihan pasangan selebriti, Awal Ashaari dan Scha Alyahya untuk memperindahkan penampilan mereka pada hari bahagia yang akan berlangsung bulan depan.
Signature Syaiful yang terkenal dengan sentuhan kontemporari akan membaluti keanggunan Scha pada upacara pernikahan, persandingan damemotong kek.
“Scha sememangnya seorang yang minimalis dan menyukai rekaan yang ringkas namun menonjolkan potongan dan perincian yang unik,” kata Syaiful.
Baru-baru ini Scha menjadi pilihan pereka itu untuk mengangkatnya sebagai ‘muse’ bagi koleksi ‘Brides by Syaiful Baharim’ dan rentetan kerjasama itu, bakal pengantin ini jatuh cinta dengan rekaan beliau.
“Selesai sesi penggambaran yang menyaksikan saya memperagakan helaian sentuhan eksklusif Syaiful, saya terus menyatakan hasrat hati untuk menyarung rekaannya pada hari bersejarah saya nanti,” kata Scha.
Koleksi busana ‘Brides by Syaiful Baharim’ menghimpunkan sembilan rekaan yang mencetus idea untuk bakal mempelai meraikan detik penuh bermakna bergelar raja sehari.
Pengarah Urusan Baharim & Co Sdn Bhd, Megat Alfie berkata, pemilihan Scha Alyahya sebagai ‘muse’ bertepatan sekali dengan mood perkahwinan yang ada di dalam jiwa pelakon berkenaan.
“Scha ialah pilihan yang tepat kerana aura bakal pengantin yang dimilikinya menyerlahkan lagi rekaan eksklusif kami untuk mempelai yang menginginkan sentuhan moden namun masih pekat elemen tradisinya,” kata Megat.
BRIDES BY SYAIFUL BAHARIM SEMARAKKAN SERI PENGANTIN
Scha Alyahya tampil mempersona dalam sembilan sentuhan Syaiful Baharim yang diteras penggunaan fabrik renda Perancis, renda cord, organza, taffeta dan satin diraja bagi mewarnai koleksi perkahwinannya.
Pengarah Urusan Baharim & Co Sdn Bhd, Megat Alfie berkata, pemilihan Scha Alyahya bertepatan sekali dengan mood perkahwinan yang ada di dalam jiwa dan raga pelakon berkenaan.
“Pemilihan Scha Alyahya cocok dengan transisi kehidupannya yang bakal melangkah ke alam perkahwinan dan Syaiful berjaya mencerna setiap emosi bakal mempelai tersebut ke atas rekaan eksklusifnya,”
Tampil dengan inspirasi tersendiri, Syaiful Baharim mengilhamkan signature kuntuman ribbon yang disatukan dalam setiap rekaan gaun bagi melempiaskan kesan romantis. Pada masa yang sama, perincian manik Swarovski, buluan dan mutiara menonjolkan paparan mewah buat ratu sehari.
Koleksi busana pengantin Brides by Syaiful Baharim kini boleh didapati dengan mengunjungi sendiri butik terbarunya di Bangsar yang telah dibuka kepada pelanggan setianya sejak Januari lalu.
Maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi Megat Alfie di talian 012 25 888 54.
0 comments