http://cerciterpanas.blogspot.com

Pasangan popular Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya bakal melangsungkan pernikahan mereka pada 4 Mei depan.

Majlis akad nikah akan diadakan di Pullman Putrajaya Lakeside sekitar jam 8.30 malam.

Jelas Awal, tarikh tersebut dipilih disebabkan kelapangan masa yang dimiliki oleh mereka berdua.

“Sebenarnya tidak ada sebab tarikh itu dipilih, cuma pada tarikh tersebut kebetulan lokasi yang dipilih tidak ditempah,”katanya ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman pernikahan mereka di Ampang, sebentar tadi.

Majlis sidang media tadi turut dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

Pasangan tersebut bakal menggayakan busana rekaan Syaiful Baharim.

Sementara itu tutur Scha pula, dia amat bersyukur segala persiapan sudah pun siap lebih 70 peratus.

“Alhamdulillah, persiapan kami kini sudah mencapai 70 peratus. Kami bersyukur kerana ramai yang membantu mempermudahkan persiapan majlis tersebut,”katanya sambil memberitahu mereka berdua telah pun menghadiri kursus kahwin pada penghujung bulan Januari lalu.

Sementara itu, majlis resepsi pula akan diadakan dua hari selepas itu (6 Mei) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Hampir 2000 tetamu dijangka hadir pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, enam episod eksklusif persiapan perkahwinan mereka akan disiarkan di Astro Ria, manakala majlis pernikahan mereka akan disiarkan secara langsung di Astro Ria dan Astro Awani kelak.

Awal dan Scha dijangka akan berbulan madu di dalam negara sahaja kerana kesibukan kerja masing-masing.

Upacara merisik telah diadakan pada 30 Mei tahun lalu bersempena hari ulang tahun ke 28 Scha Al-Yahya.