Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

13:18 0





Setiap individu memiliki kelebihan tersendiri yang saling melengkapi antara satu sama lain













SUDAH beberapa kali saya diajukan soalan yang menunjukkan ketidakpuasan terhadap kemahiran dan kelebihan yang dikurniakan Allah Taala kepada seseorang hamba. Guru berasakan dia jauh daripada Allah kerana dia hanya mengajar bahasa Inggeris atau ilmu Sains. Doktor tertekan dengan kepadatan jadualnya lalu tiada masa untuk Allah dan agama.

Bahkan, perempuan berasa tidak senang kerana perlu memikul pelbagai kesusahan menguruskan anak. Ini belum lagi ditambah dengan tugas di pejabat yang menekan dan membebankan. Lalu saya cuba meneliti situasi yang mungkin sampai ke tahap fenomena ini. Adakah benar jurusan agama saja yang mendapat pahala atau adakah benar profesion yang lain kurang pahala atau tiada pahala?
 
Setelah membuat pencarian dan penelitian, saya dapati ada dalil yang dapat merungkai permasalahan ini. Pertama, Nabi SAW mengkhabarkan kepada kita bahawa tiada hasad kecuali pada dua perkara iaitu harta yang diinfaqkan ke jalan yang diredai oleh Allah Taala dan ilmu yang dimanfaatkan oleh seseorang individu itu dan disebarkan kepada orang ramai.


Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tiada hasad kecuali pada dua perkara; seorang lelaki yang dikurniakan harta oleh Allah, maka dia menggunakan harta itu untuk kebenaran. Kedua, seorang lelaki yang dikurniakan hikmah oleh Allah, lalu dia memanfaatkannya dan mengajarnya.” (Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari, No. 1409). Erti hasad dalam hadis ini ialah mengharap dapat mencapai dua amalan murni itu.

Seterusnya, apabila kita melihat kepada kepakaran sahabat Rasulullah SAW, kita akan dapati kepakaran mereka pelbagai dan berbeza. Dalam ilmu agama, ada hadis yang menunjukkan perbezaan kepakaran mereka. Sabda Nabi SAW bermaksud: “Dalam kalangan umatku, orang yang paling merahmati umatku ialah Abu Bakr. Orang yang paling tegas melaksanakan urusan Allah ialah Umar. Orang yang paling pemalu dan lemah lembut ialah Uthman. Orang yang paling mahir membaca kitab Allah ialah Ubay bin Ka’b. Orang yang paling mahir perihal harta pusaka ialah Zaid bin Thabit. Orang yang paling berilmu mengenai halal dan haram ialah Muaz bin Jabal. Ketahuilah bahawa setiap umat mempunyai pemegang amanah dan sesungguhnya pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah bin al-Jarrah.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan beliau menyatakan status hadis ini ialah Hasan Sahih).

Perhatikanlah bagaimana Rasulullah SAW mengiktiraf kepakaran sahabatnya. Tiada pula Nabi SAW mengarahkan agar mereka menumpukan perhatian kepada satu bidang ilmu saja. Sebaliknya Rasulullah SAW sentiasa melihat kepada kepakaran sahabatnya di dalam skop yang lebih besar. Selagi mana kepakaran itu dapat menyerlahkan kehebatan Islam, selagi itulah kepakaran itu akan dimanfaatkan.
Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW sering melantik Khalid bin al-Walid ra untuk mengepalai gerakan ketenteraan. Rasulullah tidak mengetepikan Khalid semata-mata kerana kekurangan beliau dalam periwayatan hadis jika dibandingkan dengan Abu Hurairah. Setiap seorang perlu dihargai kerana setiap seorang berperanan dalam menyerlahkan kehebatan Islam.

Dalam sebuah hadis, Aishah ra mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling awal wafat dan menyusuliku di kalangan kamu semua (iaitu isteri-isteri Baginda SAW) ialah yang paling panjang tangannya.” ‘Aishah berkata: ‘Lalu kami mengukur tangan kami. Kemudian kami dapati Zainab yang paling panjang tangannya di antara kami kerana dia menjahit baju dan bersedekah dengan hasil kerjanya itu.” (Hadis riwayat al-Imam Muslim, No. 2452).

Di dalam mensyarah hadis ini, al-Imam al-Nawawi mengatakan bahawa hadis ini jelas menunjukkan keistimewaan Zainab binti Jahsh ra. Zainab bekerja dan bersedekah daripada hasil jualan jahitannya. Justeru, dapatlah kita fahami bahawa Rasulullah SAW mengiktiraf usaha murni Zainab dalam menyerlahkan kehebatan Islam melalui usahanya meringankan beban fakir miskin.

Satu lagi peristiwa yang menunjukkan bahawa kepakaran perlu dipelbagaikan demi menjaga kehebatan Islam ialah hadis Zaib bin Thabit ra. Di dalam satu riwayat, Zaib bin Thabit berkata yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah mengarahkan saya untuk belajar bahasa Yahudi. Lalu saya pun belajar persuratan Yahudi. Baginda telah berkata: “Demi Allah, aku tidak percaya dengan bangsa Yahudi dalam persuratanku.”

Maka saya pun mempelajarinya dan tidak sampai setengah bulan, saya telahpun dapat menguasai bahasa Yahudi. Justeru, sayalah yang menulis surat Rasulullah SAW kepada orang Yahudi dan membaca surat mereka kepada baginda.” (Hadis riwayat al-Imam Abu Daud, No. 3645 dan dinyatakan statusnya sebagai Hasan Sahih oleh al-Albani).

Hadis ini sewajarnya menjadi inspirasi dan motivasi kepada mereka yang menceburi bidang linguistik agar berusaha sedaya upaya sehingga dapat menguasai bahasa yang dipelajari. Bukankah dengan mengetahui bahasa asing, ajaran Islam dapat disebarluaskan? Bukankah dengannya juga dapat dikesan perancangan jahat musuh terhadap kelangsungan Islam?

Sebelum mengakhiri coretan ini, saya ingin membawa kata-kata tuan guru kepada al-Imam al-Syafi’i rahimahullah, iaitu al-Imam Malik yang menjelaskan kepada kita sikap sebenar seorang Muslim terhadap kemahiran dan kecenderungan. Al-Imam Malik telah diajak oleh seorang abid untuk mempergiatkan amalan salih dan meninggalkan pengajaran ilmu, lalu beliau menjawab: “Sesungguhnya Allah telah membahagikan amalan seperti Dia membahagikan rezeki.”

Justeru, mungkin seorang lelaki itu dipermudahkan untuk solat tetapi tidak dipermudahkan untuk puasa.

Seorang lagi dipermudahkan untuk bersedekah tetapi tidak dipermudahkan untuk puasa. Seorang yang lain pula dipermudahkan untuk berjihad. Maka menyebarkan amalan adalah di antara amalan kebajikan yang terbaik.






Credit to :  Pengerusi Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU)
sumber - Berita Harian Online
:)

0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button