KITA amat kesal dengan berita disiarkan media menyatakan tentera NATO terbabit dalam insiden membakar kitab suci al-Quran di Afghanistan. Walaupun pihak NATO mengatakan tentera terbabit tidak sengaja melakukan hal itu serta akan menyiasat terhadap pelakunya, ia jelas satu perbuatan menghina Islam.
Sebelum ini, peristiwa sama pernah terjadi di Florida, Amerika Syarikat yang mana pendeta Terry Jones membakar al-Quran kononnya sempena memperingati peristiwa 11 September 2001 di New York dengan menjadikannya sebagai ‘International Burn a Koran Day (Hari membakar al-Quran Antarabangsa). Kebetulan pula hari itu bertepatan dengan Hari Raya Aidil Fitri 1431 hijrah.
Selain itu, kita turut disajikan laporan tentera NATO kencing ke atas mayat orang Islam yang menjadi mangsa serangan mereka di medan peperangan.
Hal seperti ini sudah seperti menjadi misi tetap golongan kafir termasuk anggota tentera yang melakukan perbuatan terkutuk itu. Perbuatan dan kecenderungan golongan kafir menghina dan mempersenda Islam dinyatakan dengan jelas oleh Allah dalam al-Quran.
Firman Allah bermaksud: ” Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi pengetahuan kepadamu (mengenai kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120).
Oleh sebab itu, Rasulullah SAW ketika sudah berada di Madinah selepas berhijrah, pernah mengusir Bani Qainuqa’ dan Bani Nadir, kedua-duanya komuniti Yahudi yang selalu memusuhi Rasulullah.
Gambaran al-Quran itu dibuktikan secara ilmiah, bagaimana sikap Yahudi dan Nasrani terhadap kaum mukmin, sejak zaman Rasulullah hingga hari ini tidak pernah berubah memusuhi umat Islam. Mereka akan terus berusaha dengan segala cara, melakukan gerakan memurtadkan orang Islam di mana-mana khususnya di negara Islam.
Misi mereka melakukan apa yang disebut ‘Gold, Gospel dan Gloryus’ (menguasai ekonominya, menyebarkan agama dan menjajah). Inilah misi mereka secara tetap dan abadi seperti digambarkan al-Quran.
Seterusnya Allah SWT memberikan pedoman kepada kaum mukminin dengan sangat jelas dan tegas, agar tidak menjadikan orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman kepercayaan. Kerana di hati mereka diselubungi permusuhan dan berusaha menjadikan kaum mukmin murtad dan masuk ke dalam agama mereka.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan – dari orang-orang yang diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu, menjadi penolong-penolong, dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 57).
Sebaliknya ramai orang Islam yang percaya kepada Yahudi dan Nasrani serta meminta pertolongan, perlindungan bahkan menyokong dan membela mereka. Inilah yang menyebabkan orang Islam ditimpa kehinaan lalu menjatuhkan maruah umat Islam.
Firman Allah SWT bermaksud : “Sesungguhnya penolong bagi kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).” (Surah al-Ma’idah, ayat 55).
Inilah hukum yang bersifat tetap dan mutlak yang diberikan Allah kepada kaum muslimin dalam menghadapi rancangan konspirasi jahat kaum Yahudi dan Nasrani dalam sejarah umat manusia.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi ‘orang dalam’ (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Sudah nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya Kami jelaskan kepada kamu keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.” (Surah al-Imran, ayat 118)
0 comments