Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

00:15 0
Wan Shades dan Melia Aimiellia telah bertekad membuat laporan ke Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan fitnah tersebut. Tindakan itu diambil bagi membersihkan nama mereka yang sudah dicemari dengan tuduhan negatif akibat perbuatan pihak tak bertanggungjawab. (Rasanya tentu anda dah tahu siapa pihak tersebut bukan?)

Pada bulan Februari yang lepas kecoh di laman internet berkenaan isu Wan Shades yang dituduh merogol anak tirinya sendiri dan Melia pula difitnah berkenaan video bogel. Kami masih ingat waktu itu, kisah ini memang hangat diperkatakan tapi pihak kami langsung tidak menulis berkenaan perkara tersebut, entah mengapa kami rasa seperti tidak berminat.

Ini adalah artikel yang dikeluarkan Berita Harian Online pada hujung Februari lepas

Bekas penyanyi kumpulan Shades, Mohamad Faizal Mohd Ali atau Wan Shades akan mengambil tindakan saman terhadap pengendali blog hiburan Rotikaya.com kerana menerbitkan artikel yang dianggap memfitnahnya.

Katanya, artikel bertajuk Wan Shade Suspek Utama Penyanyi Kumpulan R&B Rogol anak Tiri Selama Tujuh Tahun secara jelas merujuk kepada dirinya.

Artikel itu dikeluarkan dalam blog Rotikaya.com pada 20 Februari lalu. Bagaimanapun, artikel itu sudah dikeluarkan daripada blog berkenaan.

Wan berkata, tindakan undang-undang terpaksa diambil untuk memberi pengajaran kepada pengendali blog itu supaya bertanggungjawab terhadap artikel yang dikeluarkannya selain meminta mereka tampil untuk menjawab setiap tuduhan yang dilemparkan.

“Artikel yang dikeluarkan adalah satu spekulasi tidak benar dan ia mencemarkan maruah saya sebagai artis dan nama baik saya sebagai Naib Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayung Daerah Gombak dan Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga Gombak Setia,” katanya pada sidang media di rumahnya di Taman Melati di sini, semalam.

Beliau memberi tempoh tujuh hari kepada blogger itu untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

“Saya sedia bersemuka dengan blogger terbabit untuk mendapatkan penjelasan, namun mereka gagal dihubungi,” katanya.

Wan turut membuat laporan di Balai Polis Ukay Perdana pada hari sama selepas membaca artikel berunsur fitnah diterbitkan dalam blog berkenaan.


Dan yang terbaru perkembangan mengenai perkara ini di Mstar

Bekas penyanyi kumpulan Shades, Mohamad Faizal Mohd Ali atau Wan telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pemilik sebuah blog hiburan yang didakwa telah memfitnahnya menjadi suspek kes rogol anak tiri.

Wan,39, yang dihubungi mStar Online di sini, Jumaat berkata aduan itu dibuat pada Khamis di ibu pejabat SKMM di Putrajaya kerana pemilik blog berkenaan gagal memohon maaf.

Wan telah memberi masa selama tujuh hari untuk mereka berbuat demikian.

“Aduan kepada SKMM itu dibuat berikutan fitnah ke atas saya yang telah dibuat oleh blog hiburan berkenaan dan ia adalah susulan kepada laporan polis dan sidang akhbar yang diadakan sebelum ini.

“Saya telah memohon mereka untuk bersemuka dengan saya dan membuat permohonan maaf secara terbuka tetapi selepas tujuh hari masih belum ada sebarang tindakan dibuat.

“Aduan itu untuk mengenal pasti siapakah “blogger” berkenaan dan lokasi mereka menjalankan operasi supaya mudah untuk pihak berkuasa mengesan bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya yang masih bujang.

Wan yang popular dengan lagu “Jangan Kau Ucap Selamat Tinggal” ketika bersama Shades mendakwa difitnah apabila sebuah blog hiburan menyiarkan laporan tidak beretika dengan tajuk Wan Shades Suspek Utama Penyanyi Kumpulan R&B Rogol Anak Tiri Selama Tujuh Tahun pada 20 Februari lalu.

Tajuk berkenaan menurut Wan telah mencemarkan maruahnya sebagai seorang selebriti dan kedudukannya sebagai Naib Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayung Daerah Gombak dan Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga Gombak Setia, dekat sini.

Dalam pada itu, Wan berkata, dia akan tetap meneruskan saman terhadap blog hiburan tersebut bagi membersihkan namanya selain memberi pengajaran kepada penulis-penulis blog yang tidak mengamalkan etika dalam menghasilkan sesebuah laporan.

Tambah Wan, dia sedang menunggu siasatan daripada pihak SKMM dan dijangka akan mendapat maklum balas dalam masa terdekat sebelum meneruskan proses menyaman pihak tersebut.

“Gosip dalam dunia hiburan adalah perkara biasa tetapi fitnah dan tuduhan tidak berasas adalah satu masalah yang tidak patut dilakukan.

“Apabila timbul cerita sebegini ia memberikan impak bukan sahaja kepada kerjaya tetapi juga maruah dan orang di sekeliling saya,” katanya.

Sementara itu, Wan memberitahu dia terkilan apabila pihak blog hiburan tersebut enggan berjumpa dengannya bagi menjelaskan mengenai situasi tersebut.

“Langsung tiada usaha untuk berjumpa atau menelefon saya untuk memperjelaskan mengenai isu itu apatah lagi untuk meminta maaf. Ia suatu tindakan yang tidak bermaruah,” jelasnya.

mStar Online difahamkan, selain Wan, terdapat seorang lagi selebriti wanita yang dikaitkan dengan penyebaran gambar separuh bogelnya turut membuat laporan serupa.


Satu lagi artikel berkenaan Melia Aimiellia di Mstar

Penyebaran video bogel yang dikatakan milik aktres muda Melia Aimiellia (Melia) di beberapa laman blog sebelum ini menyebabkan pelakon itu menanggung kesusahan apabila tawaran berlakon yang diperolehnya dibatalkan.

Melia atau nama sebenarnya Noor Melia Aimiellia Zaidi, 19, berkata dia sekeluarga juga turut berasa terganggu dengan persepsi buruk dan kecaman masyarakat ekoran fitnah berkenaan.

“Kesan daripada penyebaran video fitnah itu bukan sahaja mencemar nama dan reputasi saya sekeluarga, malah ia turut menjejaskan periuk nasi saya sebagai pelakon.

“Bayangkanlah, kini saya tidak mendapat sebarang tawaran kerana banyak syarikat produksi ragu-ragu dan takut untuk mengambil saya berlakon. Mereka risau jika drama lakonan saya akan digam atau tidak ditonton akibat tuduhan itu.

“Apa yang lebih menyedihkan apabila ada pihak produksi yang mempersendakan saya dengan mengajak saya ‘tidur’ bersama kerana video tersebut,” katanya ketika dihubungimStar Online, di sini, Jumaat.

Melia berkata pada awalnya dia mengakui enggan mengambil pusing perkara itu kerana sejak awal lagi dia sudah menjelaskan bahawa gadis yang berbogel dalam video tersebut bukan dirinya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan bertambah rumit apabila ia mula menggugat kerjayanya sehingga memaksa heroin filem Karipap-Karipap Cinta (2011) ini membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menjalankan siasatan ke atas blog-blog terbabit.

“Saya sudah beri tempoh kepada pengendali beberapa blog-blog untuk memadam dan membuang entri laporan fitnah itu.

“Malangnya, tiada usaha daripada mereka. Tahap kesabaran saya ada batasnya, jadi saya perlu mengambil tindakan bagi membersihkan semula nama saya,” katanya.

Pelakon itu turut memberitahu, dia mengesyaki penyebaran video tersebut merupakan satu komplot oleh kumpulan pemilik blog hiburan yang berpakat untuk menjatuhkan dirinya dengan menyebarluaskan lagi penyebaran video berkenaan.

“Saya dapat rasakan ada muslihat yang mencurigakan di sebalik penyebaran video itu. Apabila saya bertanya kepada dua blog yang memulakan penyebaran video itu, mereka tidak mengetahui sumber asal rakaman tersebut.

“Ketika diminta mengalihkan video itu, mereka padam entri tersebut buat sementara waktu tetapi tidak lama kemudian ia dimuat naikkan semula dan tersebar ke blog-blog lain pula,” katanya.

Ditanya adakah dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua blog berkenaan, Melia berkata dia akan mempertimbangkannya selepas mendapat keputusan siasatan SKMM selepas melaporkannya pada Khamis lalu.

“Berkemungkinan saya akan ambil tindakan undang-undang ke atas blog-blog itu tetapi saya akan ikut prosedur yang dicadangkan SKMM hasil siasatan itu nanti.

“Memandangkan perkara ini sudah mencemarkan nama dan maruah saya dan kerjaya, tindakan tegas wajar diambil sebagai pengajaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.


Kredit untuk Berita Harian dan Mstar.

0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button