Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

00:29 0


JULAI ini, genaplah dua tahun mereka menjalinkan percintaan dan sepanjang tempoh itu tidak pernah terdetik di hati masing-masing untuk mempermainkan perasaan masing-masing walaupun ada masanya mereka sering terpisah beribu kilometer jauhnya.



Secara jujur, Qushairi Mohammed Razali atau lebih dikenali dengan panggilan Qi, 35, mahu mengakhiri percintaannya bersama penyanyi dan komposer berbakat besar, Yunalis Zaraai, atau Yuna, 26, dengan satu ikatan lebih pasti. 

Apatah lagi, pemuda kelahiran tanggal 8 Ogos 1977 itu semakin dewasa. Pada usia begini selayaknya Qi bergelar suami dan memiliki keluarga sendiri. 


“Tidak dinafikan saya ada perancangan untuk membawa perhubungan kami ke fasa yang lebih serius. Yuna melengkapi segala yang saya inginkan daripada seorang wanita. Dia seorang yang bijak dan kreatif. Yuna juga ada pengetahuan dalam bidang muzik dan wanita sebeginilah yang saya cari-cari dan kagumi.




“Selama kenal dan rapat, Yuna boleh diajak berbual mengenai apa saja isu terutama muzik dan filem. Ini kerana dia juga suka menonton wayang seperti saya. Walaupun lebih muda berbanding saya, Yuna sudah matang membuatkan kami tidak rasa janggal.




“Mengenai masa depan kami, setahun dua ini saya belum boleh cakap apa-apa kerana selain sibuk dengan karier masing-masing. Andai jadi kami berkahwin, saya tidak mahu perkahwinan menjadi batu penghalang buat Yuna mengejar cita-citanya. 



“Dengan erti kata lain, saya enggan apa yang diusahakan Yuna selama ini untuk membawa muziknya ke peringkat antarabangsa tergendala kerana kami berkahwin. 
Tambahan pula sekarang ini, dia akan lebih kerap menetap di Amerika Syarikat dan hanya pulang lima atau enam kali setahun. Saya sanggup tunggu dan bersabar. 



“Buat masa ini kami sama-sama sibuk dengan kerjaya masing-masing walaupun berjuang dalam bidang yang sama,” katanya. 



Saling memahami keterbatasan waktu untuk bertemu membuatkan Qi dan Yuna kadangkala berhubung melalui ‘skype’. Melalui komunikasi secara Internet itu, mereka dapat bertanya khabar dan memaklumkan perkembangan aktiviti seharian. 



Qi juga akui, meskipun bergiat aktif dalam bidang muzik dan pernah menganggotai OAG sebelum ini, namun dia tidak pernah campur urusan kerja Yuna. 



Bagi Qi, teman wanitanya itu seorang pemuzik yang sedang mencipta nama walaupun dalam beberapa aspek Yuna lebih mendahuluinya khususnya dari segi pengetahuan dalam genre folk dan jazz. Qi sendiri lebih cenderung kepada blues. 



Qi juga menyifatkan Yuna seorang yang berani dan cekal. Di sebalik sifat lemah-lembut itu, Yuna ada semangat juang yang tinggi dan kerana itulah Yuna sanggup mengorak langkah ke Amerika Syarikat. 



“Yuna memang seorang yang ‘gifted’ dalam bidang muzik. Saya bangga dengan pencapaiannya dan saya harap dia akan terus berjaya lagi. Impiannya tinggi dan saya menghormati perjuangan Yuna. 



“Muzik Yuna boleh dikategorikan sebagai ‘bijak’. Bagi saya suara Yuna juga klasik. Terus-terang, inilah pertama kali saya membuat pengakuan sebegini. 
Sebelum ini saya tidak pernah mengaku saya adalah peminat Yuna. 



Dalam pada itu, dalam diam pasangan kekasih ini sudahpun membuat kolaborasi duet menerusi lagu, KL Kita yang kemungkinan menjadi soundtrack filem terbaru arahan Bront Palarae dan Keroncong Untuk Ana bagi telefilem arahan Erma Fatima yang turut dilakonkan Qi sendiri. 



“Keroncong Untuk Ana adalah lagu hasil ciptaan dan nyanyian asal Datuk M Nasir. Untuk kesesuaian kolaborasi ini, kami membuat susunan semula lebih kepada jazz. Selain merakamkan semula lagu itu, watak saya menerusi telefilem ini juga sangat berbeza. Bagaimanapun, saya gembira diberi peluang oleh Kak Erma,” katanya. 



Tidak lokek berkongsi maklumat, tahun ini juga Qi mahu mengurangkan pembabitannya dalam bidang pengacaraan dan mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang lakonan. 



Buktinya selepas tiga musim mengendalikan rancangan Jalan Jalan Cari Makan (JJM) dia mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan. Bagaimanapun, dia masih mengacarakan program School Attack! 



“Saya naik 20 kilogram ketika mengacarakan JJCM. Terus-terang saya ‘enjoyed’ mengacarakan program itu tapi sudah tiba masanya memberikan peluang kepada orang baru. 



“Kebetulan saya mahu memperkukuhkan nama sebagai pelakon. Tahun lalu banyak tawaran saya terima namun tidak mampu dipenuhi kerana terlalu sibuk,” katanya yang sering dihujani panggilan yang ingin bertanyakan restoran makanan terbaik di negara ini. 



Terbaru, Qi membintangi siri 13 episod terbitan TV9 berjudul Friday I’m In Love. Membawa watak utama sebagai Awang, Qi tertarik dengan jalan cerita drama itu. 



“Ia mengisahkan Awang yang akan jatuh cinta setiap kali hari Jumaat kepada gadis yang berbeza. Sebelum menjelang Jumaat, dia akan berpisah dengan teman wanitanya. 



“Awang percaya dia terkena badi sumpahan orang terhadap ibunya. Andai tidak menemui cinta sejati pada usia 24 tahun, dia akan bertukar menjadi seekor ‘hamster’! 



“Mengenai karakter Awang, dia seorang yang lurus dan bersahaja. Saya juga mengagumi hasil kerja pengarah Ahmad Faizul kerana latar belakangnya dalam dunia komersial, menjadikan pembikinan drama ini sangat unik,” katanya. 



Sebelum mengakhiri perbualan Chi sempat menyatakan keinginannya untuk menimba pengalaman bekerja di bawah arahan pengarah berbakat seperti Syamsul Yusof, Khabir Bhatia dan Osman Ali.


mymetro .



0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button