Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

21:09 0

“TAHNIAH diucapkan kepada suami dan adik kerana berjaya memperdaya saya sehingga percaya. Nampaknya, tahun ini saya ‘kantoi’ dengan kejutan yang mereka aturkan,” kata pelakon terkenal, Datin Paduka Umie Aida selepas dikejutkan dalam satu majlis sambutan hari jadinya yang ke-39 malam kelmarin.


Majlis sederhana namun meriah itu diadakan di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara dan dihadiri kira-kira 100 tetamu yang kesemuanya adalah teman baik, ahli keluarga dan rakan media.


Umie yang hadir ditemani adiknya, Betty Rahmad yang juga salah seorang pengatur majlis kejutan itu anggun dalam persalinan santai berwarna hitam berkelipan mengikut tema majlis malam itu, kilauan ‘bling-bling’.

Suaminya, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan di sebalik perwatakannya yang pemalu dan lebih gemar mengukir senyuman rupa-rupanya seorang yang cekap dalam mengalih perhatian si isteri.





Tambah Umie atau nama sebenarnya Umi Kalsum Rahmad Ali, inilah pertama kali dia tertipu dengan segala helah yang disusun untuk mengaburi perhatiannya.





“Mana tidaknya, awal pagi lagi abang (suami) sudah memberitahu saya kononnya dia terpaksa ke Ipoh untuk mesyuarat. Tambahan pula memang akhir-akhir ini abang sering berulang-alik ke Ipoh untuk urusan kerjanya. Jadi tanpa berfikir lain atau mengandaikan ada apa-apa perancangan, saya percaya saja tapi kami sudah merancang untuk makan bersama anak-anak keesokan harinya.

“Tiba-tiba muncul pula Betty yang kononnya ingin membelanja saya makan dan kemudiannya karaoke. Memikirkan abang tiada dan kebetulan tiada apa-apa perancangan, saya bersetuju kerana sekurang-kurangnya dapat hilangkan rasa sunyi di rumah memandangkan anak-anak juga sudah ada rancangan lain. Dapat juga saya lepaskan gian untuk menyanyi.

“Tapi rupa-rupanya sebaik tiba di KLGCC untuk makan malam, semua tetamu sudah ada. Paling terkejut apabila saya melihat kelibat abang juga ada sama.

“Patutlah si Betty bersungguh suruh saya mengenakan baju ‘bling-bling’ kerana selalunya saya hanya selesa menyarungkan t-shirt dan jeans saja kerana lokasi ini berdekatan dengan rumah,” katanya berseloroh.

Ini bukanlah pertama kali majlis kejutan buat Umie kerana tahun lalu dan beberapa tahun sebelum ini, pelakon popular yang baru saja meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik (Drama) di Anugerah Skrin 2011 menerusi drama Air Mata Salina sudah diraikan dalam majlis serupa.

Antara teman artis yang sempat meluangkan masa termasuk Datin Sofea Jane, Vanida Imran dan suaminya, Rashidi Ishak, Linda Onn, Liyana Jasmay, Iqram Dinzly, Noniswara, Kuza dan Rebecca Nur Al-Islam.

‘Birthday girl’ yang sinonim dengan sikap peramah dan suka berjenaka ini kemudiannya diminta memotong kek sebelum dihiburkan dengan sesi karaoke oleh teman-teman artis yang hadir.

Kata Umie yang terkelu beberapa minit sebelum menyedari segala perancangan yang dilakukan tatkala melangkah masuk ke dalam dewan sambil diiringi nyanyian lagu Selamat Hari Jadi menyifatkan sambutan ini adalah sesuatu yang cukup bermakna buatnya.

“Saya terharu dengan apa yang dilakukan suami dan adik-beradik kerana ia cukup menggambarkan betapa mereka menyayangi saya. Alhamdulillah, saya diberikan keluarga dan suami yang penyayang. Namun, jujurnya saya malu dan tidak suka dikejutkan sebegini kerana bimbang ia akan mengundang reaksi lain.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih dengan semua tetamu yang hadir terutamanya ibu, keluarga, rakan-rakan artis dan pihak media yang hadir meraikan majlis ini,” katanya yang dilahirkan tanggal 18 Januari 1973 di Kuala Lumpur.

Bertanyakan soal azam dan misinya sepanjang melayari usia ke-39, kata Umie yang kini meletak sepenuh fokus pada keluarga dan anak-anak, tiada apa lagi yang diharapkan selain terus berusaha menjadi isteri dan ibu yang baik.

“Sejak berkahwin, saya sudah mengurangkan aktiviti seni �kerana tidak mahu �mengabaikan keluarga. Maklumlah, jika terus aktif berlakon, saya memang tiada masa untuk memasak, �mengemas rumah dan menjaga kebajikan suami. Lantas saya sendiri yang ingin mengubah haluan untuk menjadi isteri yang lebih fokus.

Alhamdulillah, suami juga tidak pernah menghalang.

“Soal lakonan, saya akan kembali ke lokasi penggambaran pada 25 Januari ini bersama Kabir Bathia untuk musim kedua Kekasihku Seru berjudul Waris. Insya-Allah, jika diberi rezeki dan kelapangan, saya akan kembali ke layar perak menerusi sebuah filem pada pertengahan tahun nanti. Namun, setakat ini saya masih belum berani mendedahkannya.

“Apa yang penting, setiap kerja dan percaturan karier adalah dengan keizinan suami,” katanya yang masih menanti rezeki untuk menimang cahaya mata bersama suami tercinta.

Erma doakan Umie bahagia

Tiada apa lagi yang diharapkan pengarah terkenal Erma Fatima selain mengharapkan Umie diberi kesihatan yang baik dan mendapat kebahagiaan bersama suami dan anak-anak.

Menjadi kakak kepada Umie dan berkongsi pentas karier sama, Erma juga mendoakan adiknya berjaya dalam hidupnya selain menjadi pelakon yang cukup disegani.

Tambah Erma, menjengah usia 39 tahun adalah satu permulaan buat Umie untuk terus mencatur perjalanannya ke depan bersama tanggungjawab yang lebih besar.

“Saya gembira kerana Umie sekarang sudah bahagia dengan apa yang dimilikinya.

Mempunyai anak-anak yang baik dan sentiasa mendoakannya, seorang suami yang memahami, penyayang dan kehidupan peribadi yang lancar sudah cukup membuatkan saya sebagai kakak tersenyum melihatnya.

“Saya akan terus berdoa dan mengharapkan agar Umie akan kekal sihat dan berjaya mengejar impiannya yang masih belum terlaksana itu,” katanya.




0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button