Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

01:07 0


PEMAIN nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei tidak rela membiarkan pemain lain terkapai-kapai dalam menggalas cabaran negara di pusingan kelayakan Piala Thomas biarpun dia menganggap misi utamanya tahun ini adalah memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik London.


Chong Wei, 30, berkata, walaupun ramai berpendapat skuad Piala Thomas kali ini agak lemah dengan ketiadaan pemain berkaliber dalam acara berpasukan itu namun yakin, kehadirannya mampu membakar semangat rakan sepasukan.




“Piala Thomas adalah acara berpasukan dan pasukan kita tidak begitu kuat dan saya perlu bermain. Saya bermain bukan hanya untuk pasukan ini tapi juga untuk negara. Saya tak kisah menang atau kalah tapi tetap akan bermain dalam Piala Thomas.


“Sebagai pemain senior, saya harap dapat menaikkan semangat pemain lain apatah lagi dalam pasukan ini ada lima pemain muda yang tidak pernah beraksi di Piala Thomas.




“Memang bagi saya Olimpik lebih penting tapi Piala Thomas juga tidak boleh diketepikan. Tahun ini saingan kelayakan Piala Thomas lagi susah kerana ada pasukan seperti China dan Korea (Selatan),” katanya selepas majlis pelancaran autobiografi dirinya yang bertajuk ‘Dare to be a Champion’ semalam.




Selepas membuka kempen tahun ini dengan bergaya apabila memenangi kejuaraan Terbuka Korea dan Malaysia, kehebatan Chong Wei sekali lagi ditagih bagi mengelakkan Malaysia gagal layak ke pusingan akhir Piala Thomas sejak format baru kejohanan diperkenal pada 1984.



Pada pusingan kelayakan di Macau bermula 14 hingga 19 Februari ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menyenaraikan pemain perseorangan Muhammad Hafiz Hashim, Liew Daren dan Mohd. Arif Latif, manakala dalam beregu lelaki, Koo Kien Keat- Tan Boon Heong mengetuai saingan bersama Lim Khim Wah, Goh V Shem, Hoon Thien How dan Teo Kok Siang.




Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas pada 1992 di Kuala Lumpur.



Selepas pusingan kelayakan Piala Thomas, jadual Chong Wei terus padat apabila akan turun memburu gelaran hatrik Seluruh England pada 6 hingga 11 Mac di Birmingham.




“Saya harap boleh menang kali ketiga tapi bukan senang untuk mempertahankan kejuaraan itu lebih-lebih lagi saya sudah menang dua kejuaraan Siri Super tahun ini,” katanya.




Mengenai buku autobiografi yang mula berada di pasaran dengan harga RM35 hingga RM38 bagi edisi Bahasa Inggeris dan Bahasa China itu, Chong Wei berharap ia mampu menjadi sumber inspirasi buat semua rakyat Malaysia.




0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button