KUALA LUMPUR – Kumpulan thrash metal veteran tanah air, Cromok akan mengadakan konsert terbaru mereka Reunion Thrashing Kuala Lumpur selepas 20 tahun tidak beraksi di atas pentas berskala besar pada persembahan mereka di KL Live di sini pada 8 April ini pukul 4 petang.
Menurut gitaris Cromok, Khairul Anwar Shariff atau Karl, 45, kumpulannya tidak sabar untuk beraksi pada konsert berskala besar itu selepas kali terakhir mereka mengadakan persembahan di KL Live yang ketika itu dikenali sebagai Live Centre pada tahun 1992.“Ketika konsert pertama Cromok itu diadakan di Live Centre kami baru sahaja habis belajar di Universiti Wollongong, Sydney, Australia. Malah, masa itu Cromok pun baru sahaja ada sebuah album bertajuk Image Of Purity yang kami rakamkan di Sydney.
“Sedangkan sekarang ini kami ada lebih lima album termasuklah album-album kompilasi. Selepas 20 tahun kami rasa teruja kerana dapat beraksi lagi pada konsert seperti ini. Ini kerana, selama ini kami lebih banyak menumpukan kepada kerjaya sendiri dan bukannya sebagai pemuzik.
“Kami harap konsert kali ini akan mengembalikan nostalgia para peminat apatah lagi kami akan menyampaikan lagu-lagu daripada tiga album terawal Cromok yang paling mendapat sambutan para peminat,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Sheraton Imperial di sini semalam.
Selain Karl, Cromok yang turut disertai oleh Samsudin Ali atau Sam selaku bassis dan vokalis serta Tarmizi Mokhtar (Miji) sebagai pemain dram tidak sendirian, sebaliknya konsert turut akan dijayakan tiga lagi kumpulan tempatan iaitu Nuclear Strikes, Metalasia dan Langsuyr.
Tambah Karl, konsert yang mengenakan tiket berharga RM98 dan RM138 anjuran Clockwork Events dan Uncang Tiga Event Marketing itu dijangka hanya mampu menarik 2,800 penonton mengikut kapasiti KL Live di mana tiket terhad. Sebarang maklumat sila hubungi 03-78807999. – mynewshub.my
0 comments