Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

21:07 0

LIMA belas minit yang diberikan bagi menemubual kumpulan Rock Alternatif terkenal, Simple Plan secara eksklusif petang Sabtu lalu memberi ruang terbaik bagi melihat satu perspektif berbeza yang ada pada mereka.


Letak ke tepi soal perjuangan muzik dan imej ‘ranggi’ muda mereka, Simple Plan yang dianggotai lima anak muda kelahiran Montreal, Kanada, Pierre Bouvier selaku vokalis utama, David Desrosiers di posisi bass, pemain dramnya, Chuck Comeau, Sebastien Lefebvre, gitar dan Jeff Stinco yang juga pemain gitar utamanya ini punya dimensi cerita yang jauh lebih menarik untuk dikongsikan.


Meskipun awalnya tampak terkejar-kejar untuk bersedia bagi menggegarkan pentas utamanya yang berbaki beberapa jam saja, namun sebaik persoalan mengenai aktiviti amal dan fungsi organisasi kebajikan yang mereka lakukan diaju, ia bagai terus mengikat perhatian kesemua mereka untuk terus duduk bersembang.

Usik Jeff Stinco yang petah bercerita dan tampak lebih dinamik dalam menyusun katanya, “That’s something I want to talk and always love to share, unfortunately it is rarely been asked!,” jelasnya berseloroh.





“Apa saja yang kita lihat di kaca televisyen, dengar di radio dan baca di semua media cetak mengenai seribu satu masalah dunia terutamanya individu yang terpalit dilema kesusahan adalah berpunca daripada satu masalah yang terlalu kecil dan sering kali dilepas pandang.





“Mereka hanya tiada ruang dan peluang saja seperti mana orang lain yang nasibnya jauh lebih baik. Peluang itu tidak pernah diberi apatah lagi ruang buat mereka. Justeru senario yang terus menghimpit mereka adalah kedaifan dan terus berdepan isu susah.

“Sebagai insan, adakah wajar untuk kami hanya memerhati dan bersimpati saja?,”

tanya Stinco kembali sambil dipersetujui yang lain.

Simple Plan pernah membuat kenyataan di media antarabangsa dan mempersoalkan ke mana perginya wang bantuan kebajikan yang diberikan. Walaupun objektif ingin membantu, namun persoalan yang bermain di fikirkan kelima-limanya adalah adakah ia benar-benar disalurkan kepada mereka yang susah.

Lantas enggan terus dibelenggu kemelut, mereka mengambil keputusan menubuhkan tabung bantuan mereka sendiri, Simple Plan Foundation yang menghimpunkan kesemua dana yang mereka kumpulkan sebelum disalurkan sendiri kepada organisasi yang memerlukan.

Jelas vokalisnya, Pierre Bouvier, Simple Plan Foundation sudah pun mengumpul dana hampir AS$ 1 juta bagi disalurkan kepada beberapa organisasi dan institusi kebajikan yang memerlukan bantuan.

“Kami sangat gembira apabila apa yang pernah kami impikan menjadi kenyataan.

Mana tidaknya, mimpi untuk membina nama sebagai penyanyi dan memiliki peminat sudah pun direalisasi. Lantas sekarang masanya untuk kami membalas semula kepada mereka yang sepatutnya menerima kebahagiaan seperti yang lain.

“Tabung bantuan kami berjaya membantu banyak pihak yang memerlukan termasuk bantuan bencana yang berlaku di Haiti, ribut Katrina di Missisippi dan beberapa yang lain. Kerja amal seperti ini begitu penting kerana ia akan membuka satu dimensi lain buat kami dan mengingatkan agar kami tidak leka dan sentiasa peka kepada sekeliling.

“Apa yang mampu kami lakukan adalah menggunakan populariti yang ada untuk meraih dana. Selain membuat persembahan dan pertunjukan pentas, kami juga cuba melakukan pelbagai kerja seni lain termasuk yang terbaru, kami menyiapkan sebuah projek khas Symphony yang mana kesemua bayaran itu disalurkan terus kepada Simple Plan Foundation.

“Setiap seorang antara kami adalah penaung untuk sesebuah organisasi kebajikan dan dari situ kami menilai atau membuat keputusan bagi membahagikan dana yang ada untuk membantu. Saya fikir ini adalah satu kerja amal buat kami berlima untuk menghargai atas kejayaan yang dimiliki hari ini,” katanya yang kini sedang menyusun beberapa lagi aktiviti amal yang akan dilakukan.

Sesuatu yang menarik mengenai kebanyakan bintang antarabangsa adalah sikap prihatin dan etika sesama insan yang begitu serius hingga sanggup mengetepikan soal kerjaya dan meletak sepenuh fokus pada kerja-kerja amal.

Simple Plan contoh terbaik. Meskipun mengangkat imej ‘gila-gila’ dengan rangkaian lagu genre rock, namun jauh dalam jiwa anak-anak muda ini, membantu dan meringankan beban individu lain adalah lebih tinggi martabatnya berbanding populariti melangit.




0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button