Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

00:12 0

TIDAK ramai yang tahu mengenai wujudnya satu badan bebas yang ditubuhkan bagi membantu menyelesaikan pertikaian di antara pengguna dengan penyedia perkhidmatan kewangan di negara ini.

Justeru dengan penubuhan Biro Pengantaraan Kewangan (BPK) sebagai penyedia perkhidmatan penyelesaian alternatif, mereka yang mempunyai sebarang permasalahan boleh menjadikan BPK sebagai platform penyelesaian tanpa perlu melalui mahkamah.

Ikuti temubual wartawan Bisnes Harian Metro, Sri Ayu Kartikawati Amri bersama Ketua Pegawai Eksekutif BPK, John Thomas mengenai fungsi dan perkhidmatan yang boleh diperoleh orang ramai menerusi badan berkenaan.


APAKAH objektif penubuhan BPK dan bagaimana ia boleh membantu orang ramai yang menghadapi masalah pertikaian dengan penyedia perkhidmatan kewangan?


BPK menyediakan satu saluran yang percuma, cepat, mudah dan cekap untuk orang ramai mengemukakan pertikaian sebagai alternatif kepada penyelesaian melalui mahkamah. Pertikaian terbabit mungkin berkaitan dengan perbankan, kewangan ataupun insurans dan takaful.
Kami tidak memperjuangkan hak pengguna ataupun hak institusi kewangan kerana sebagai badan yang benar-benar bebas, kami mengendalikan pertikaian, tuntutan dan aduan dengan adil serta saksama.
Kami juga membantu semua aduan pertikaian dan tuntutan mengenai pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, mesin juruwang automatik, mesin simpanan tunai, kad kredit, sewa beli, akaun simpanan dan semasa, deposit tetap, kiriman wang, perbankan elektronik dan perbankan Internet.
Manakala bagi pertikaian membabitkan insurans dan takaful, BPK boleh membantu menyelesaikan pertikaian di antara pemegang polisi, pemegang sijil atau pihak yang membuat tuntutan.
Apakah sebenarnya bidang kuasa BPK?
Daripada segi bidang kuasa untuk aduan, pertikaian atau tuntutan yang membabitkan kerugian kewangan, jumlah yang dituntut tidak boleh melebihi RM100,000 (berkaitan perbankan atau kewangan).
Manakala berkaitan insurans atau takaful tidak melebihi RM200,000 (insurans atau takaful motor dan kebakaran), RM100,000 (lain-lain) dan RM5,000 (kerosakan harta pihak ketiga).
Orang ramai juga perlu tahu bahawa BPK tidak akan mempertimbangkan aduan, pertikaian atau tuntutan mengenai penentuan harga umum, dasar produk, perkhidmatan ahli, keputusan kredit (kelulusan, penolakan dan penjadualan semula pinjaman), kes penipuan (selain daripada kes penipuan yang membabitkan instrumen pembayaran, kad kredit, kad caj, kad ATM dan cek bagi jumlah tidak melebihi RM25,000), kes yang melebihi had masa dibenarkan oleh undang-undang atau enam tahun dan kes yang sudah dibawa atau dirujuk ke mahkamah atau penimbangtaraan.
Bagaimanakah cara untuk membuat aduan kepada BPK?
Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah hubungi pegawai bertugas di kaunter aduan atau kaunter khidmat pelanggan institusi terbabit kemudian buat aduan rasmi secara bertulis kepada institusi terbabit dan jika aduan belum selesai, pengguna perlu dapatkan surat keputusan akhir daripada institusi berkenaan.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-22722811 atau melayari laman web www.fmb.org.my.



0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button