Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

22:12 0


BIARPUN pelbagai acara lain berlangsung serentak pada malam Sabtu lalu, namun bukan penghalang kepada kehadiran hampir 5,000 peminat ke konsert Play! FT Island anjuran Square Roots yang berlangsung di Stadium Negara. Jeritan tanpa henti yang bergema di dalam stadium cukup menggambarkan betapa kumpulan rock yang berasal dari Korea Selatan itu cukup mempunyai magis tersendiri.

Jeritan semakin menggila apatah lagi selepas lampu dimalapkan petanda persembahan bakal bermula. Tepat jam 8.30 malam, sebaik saja lima pemuda kacak itu naik ke pentas, ribuan peminat bagaikan diserang histeria sambil menjerit-jerit nama setiap ahli kumpulan itu.

Memulakan persembahan dengan lagu I hope, kumpulan yang dianggotai oleh Lee Hongki (vokalis utama), Choi Jong Hun (gitar utama dan keyboard), Song Seung Hyun (gitar dan vokal), Lee Jae Jin (bass dan vokal) serta Choi Min Hwan (dram) itu ternyata masing-masing hebat di atas pentas memainkan peranan mereka.
Hongki yang sememangnya digilai ramai terutama gadis-gadis muda selepas membintangi drama Korea berjudul You’re Beautiful, mempamerkan vokal yang cukup kemas dan mantap sekali gus menepis stigma masyarakat bahawa penyanyi dari Korea hanya menjual penampilan semata-mata dan bukannya hebat dalam nyanyian.




Meneruskan lagi persembahan dengan lagu Bing Bing Bing dan A Handsome Guy And A Beautiful Girl, suasana di dalam stadium semakin ‘panas’ apabila Hongki mula lincah dan sekali sekala bergerak ke hujung pentas sambil berinteraksi dengan penonton.




Tatkala lagu hit Hello Hello dan Love Love Love yang cukup digilai menyusul, sekali lagi mengundang jeritan di kalangan penonton yang nyata menantikan lagu berkenaan sebelum turut menyanyikannya bersama-sama Hongki.
Cukup popular dan sudah pun berjaya menakluk Jepun dengan muzik mereka, FT Island tidak mengetepikan kelompok peminat dari negara matahari terbit itu yang sanggup datang ke Malaysia demi menyokong dan menyaksikan konsert ini dengan mendendangkan tiga buah lagu dalam versi Jepun, iaitu Life, I Want dan Let It Go sebelum berehat sebentar dan menutup sesi pertama dengan lagu Flower Rock.
Tidak dinafikan, perancangan konsert kali ini yang diilhamkan sendiri oleh ahli kumpulan ini sememangnya disempurnakan dengan rapi dengan sistem penataan lampu yang sangat menarik malah penggunaan pelbagai grafik dengan kesan tiga dimensi (3D) pada bahagian latar belakang cukup menyemarakkan lagi persembahan mereka.
Nampaknya, kehadiran mereka benar-benar menunjukkan bahawa mereka ingin memahatkan satu memori kepada kelompok peminat di Malaysia selepas membatalkan konsert pertama mereka yang sepatutnya diadakan pada 31 Mac 2008 lalu. Umpama ingin menebus kembali insiden itu, FT Island kembali selepas membiarkan peminat Malaysia dahagakan persembahan mereka hampir tiga tahun lamanya.
Pada sesi kedua, mereka membuat kelainan apabila tampil menyanyikan dua lagu, Sunshine Girl dan Confence secara akustik. Istimewanya, selain berjaya memikat penonton dengan mainan instrumen masing-masing, pada masa ini jugalah penonton berpeluang mendengar kemerduan suara Jong Hun, Seung Hyun, Jae Jin dan Min Hwan. Ternyata nyanyian mereka tidak mengecewakan lantas dihadiahkan tepukan gemuruh.
Selain itu, warna kuning yang menjadi kegemaran kumpulan ini bagaikan menjadi warna tema di dalam stadium apabila hampir kesemua peminat mereka datang dengan berpakaian kuning selain membawa belon kuning.
Selesai dengan sesi akustik, mereka kemudian mengambil kembali tempat masing-masing dan meneruskan persembahan bertenaga menyanyikan Even You Tears, A Bad Girl, The Man In Sinsa-Dong, Will Love All, You Are Smiling Like A Doll, Dokihote’s Song dan Troublemaker tanpa henti. Amat mengejutkan, walaupun sudah menyanyikan banyak lagu, kehebatan tenaga dan vokal Hongki langsung tidak tergugat.
Biarpun daripada segi bahasa, terdapat sedikit kekangan memandangkan Hongki tidak berapa fasih berbahasa Inggeris, namun tidak mematahkan semangatnya untuk cuba berkomunikasi sebaik mungkin dengan penonton malah ketika sesi memperkenalkan diri masing-masing, mereka berjaya memikat penonton dengan bertutur menggunakan bahasa Melayu.
Dari segi penampilan pula, meskipun mereka tidak dapat lari daripada bergaya mengikut imej seperti kumpulan K-Pop yang lain, namun muzik rock yang mereka perjuangan membuatkan mereka berbeza. Bukan memuja, tetapi dari segi susunan muzik mereka, ada kalanya lagu mereka kedengaran seperti lagu kumpulan rock terkenal seperti Blink 182 dan juga My Chemical Romances.
Sempat membuat gimik seolah-olah persembahan sudah tamat selepas lagu Primadona, mereka muncul kembali ke atas pentas selepas menghilang sebentar ke belakang, dan menutup persembahan pada malam itu dengan tiga buah lagu iaitu Love Sick, Until You Back dan akhir sekali, Like Birds. Seorang petugas juga sempat menyorong kek yang dihadiahkan khas kepada mereka bertulis “FT Island, Welcome To Malaysia”.
Ketika sesi temubual eksklusif, kumpulan yang baru memenangi anugerah Cosmopolitan ‘Fun & Fearless Musician’ dan Best Rock Musician Of The Year di Golden Disk Awards, 12 Januari lalu menyatakan mereka kini memasang impian untuk menembusi pasaran serta peminat di Amerika Syarikat memandangkan kini sudah berjaya menakluk pasaran dan peminat di Asia, terutamanya Jepun.
Hongki selaku jurucakap berkata, sudah tiba masanya mereka memperluaskan empayar dan mencuba pasaran barat pula.
Memandangkan Hongki dan Jong Hun kini aktif di layar drama, manakala Seung Hyun pula terbabit dalam banyak iklan komersial, Hongki tidak menafikan perkara itu banyak membantu menaikkan lagi nama FT Island.
“Dalam masa terdekat, selain saya dan Jong Hun, ahli-ahli lain juga akan mula mencuba bidang lakonan pula.
“Saya akui, selepas mendapat tawaran berlakon, agak mencabar juga memandangkan komitmen semakin bertambah.
“Mengenai lakonan pula, selepas ini saya teringin membawakan watak jahat pula demi menguji keberkesanan lakonan saya,” katanya.
Selain itu, demi mendekatkan diri dengan peminat, mereka turut tidak ketinggalan membuat akaun Twitter masing-masing di samping laman web rasmi untuk peminat yang sedia ada. Menurut Hongki, jika ada masa terluang mereka akan membalas mesej daripada peminat.



0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button