Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

20:58 0

HOLLYWOOD jarang menghampakan dalam memberi mesej positif tersirat menerusi filem-filem bercorakkan kekeluargaan. Biarpun animasi mahupun pengembaraan sering diperkuatkan dengan visual Imej Janaan Berkomputer (CGI), pembikin filem di sana biasanya tidak ketinggalan dengan ‘tugas’ itu.


‘Tugas’ itu berkesinambungan menerusi filem pengembaraan Journey 2: The Mysterious Island, arahan Brad Peyton. Harian Metro berpeluang menonton filem lakonan Dwayne ‘The Rock’ Johnson, Josh Hutcherson dan Vanessa Hudgens ini di Vieshow, Taipei, Isnin lalu.


Secara kasarnya, ia bercorak fantasi dan kebiasaan Hollywood akan cuba menyajikan CGI sebaik mungkin dan ia memang menjadi. Berdasarkan inspirasi daripada tiga novel fantasi - The Mysterious Island tulisan Jules Verne pada abad ke-19, Robinson Crusoe (Robert Louis Stevenson) dan Gulliver’s Travels (Jonathan Swift), jalan cerita ini dibangunkan oleh Richard Outten.

Fantasi mereka menjangkau dunia Atlantis yang tenggelam, haiwan kecil di bumi nyata bersaiz besar di pulau misteri seperti gajah sebesar anjing, cicak pula dijanakan sebesar dinosaur, gunung berapi memuntahkan lahar emas, panorama indah fantasi dan sebagainya.





Cukup dongeng, tetapi di sebaliknya Journey 2: The Mysterious Island bercerita kepada elemen kekeluargaan terutama Sean dan bapa tirinya. Bak kata Michael Caine yang turut berlakon sebagai datuk Sean: “Ia bukan cerita dongeng kanak-kanak. Ia berlaku pantas dan anak-anak sekarang sudah bijak untuk menilai.”





Cerita dibuka, Sean seorang remaja yang tidak tahu apa yang dimahukannya. Lebih tertekan apabila ibunya (Kristin Davis) berkahwin lain selepas kematian ayahnya. Bagaimanapun masanya banyak dihabiskan dengan peta dan buku fantasi termasuk tulisan Jules Verne.

“Dia semacam terperangkap, tersekat sedangkan banyak yang cuba diterokai berdasarkan sifat ingin tahu itu. Sama juga dengan orang lain walaupun bukan mencari pulau misteri, mereka berasa perlu untuk terokai dunia luar,” kata Josh terhadap watak Sean yang dibawanya.

Mungkin peminat filem Journey to the Center of the Earth yang ditayangkan kira-kira empat tahun lalu masih mengingati Josh yang ketika itu berusia sekitar 13 tahun. Sesuai dengan kesinambungannya, Josh tampil lebih dewasa.

Daripada tidak suka kepada bapa tirinya, Hank (Rock), Sean akhirnya akur memerlukan lelaki itu selepas pengembaraan fantasi berkenaan. Pun begitu, Journey 2: The Mysterious Island memang filem ‘cantik’, tidak hanya jalan cerita, tetapi ‘pergerakan pantas’ visual sepanjang hampir 120 minit itu cukup mempesonakan. Tambahan kalau menonton versi 3D. Keperincian visual amat jelas terutama aksi haiwan seperti belut elektrik, lebah, burung dan cicak.

Untuk mendapatkan hasil yang hebat, Brad menggunakan kamera digital sofistikated Fusion System yang dibangunkan James Cameron bersama sinematografer, Vince Pace yang turut digunakan bagi Avatar. Bagaimanapun filem naratif pertama yang menggunakan teknologi itu adalah Journey to the Center of the Earth pada 2008.

Sememangnya pengembaraan kali ini lebih terasa hidup kerana Brad begitu menekankan visualnya. Sesetengah aksi di dalam air juga ‘memaksa’ Rock dan Josh melakukan skuba untuk disesuaikan dengan visual belut elektrik gergasi.

Asalnya, pasukan Brad hanya mahu menggunakan tangki di EUE/Screen Gems Studio di Wilmington, tetapi selepas konsepnya dikembangkan, mereka terpaksa membina sebuah tangki berdiameter 80 kaki dengan kedalaman 20 kaki untuk mengisi 750,000 gelen air.

“Yang lain-lainnya untuk babak di dalam air seperti pantulan cahaya, hidupan marin, karang, buih dan kelodak dibuat menerusi janaan komputer. Persekitaran bawah air paling sukar dilakukan di dalam komputer, banyak masa diperlukan kerana beratus lapisan dilakukan,” kata Penyelia Kesan Visual, Boyd Shermis.

Journey 2: The Mysterious Island mula ditayangkan seluruh Malaysia mulai semalam, kira-kira dua minggu lebih awal dari tarikh tayangan di Amerika Syarikat.




0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button