Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

20:56 0

KEJAYAAN dua filem - The Descendants dan The Artist - mengungguli Filem Terbaik bagi kategori Drama/Muzikal/Komedi pada acara Golden Globe Awards Ke-69 yang berlangsung di Beverly Hilton Hotel, Beverly Hills, baru-baru ini mencipta sejarah tersendiri di kalangan senarai pemenang.


Mungkin kejayaan dua filem ini dianggap ‘underdog’ dibandingkan calon filem lain yang bertanding. The Descendants arahan Alexander Payne menampilkan genre komedi mengisahkan usaha seorang ayah memulihkan hubungannya dengan dua anaknya. Pemilihan George Clooney selaku watak utama filem ini membuka rezeki apabila dia menerima anugerah Aktor Terbaik.


Mengikut trek rekod Golden Globe, Payne pernah menang dua anugerah kategori Lakon Layar Terbaik menerusi filem About Schmidt pada 2003 dan Sideways (2005).

Pada 2005 juga menyaksikan dia menang anugerah kategori sama dalam Academy Awards.



Apa yang menarik perhatian, pencapaian terbaik The Descendants kali ini mengatasi lima calon lain, The Help arahan Tate Taylor, Hugo (Martin Scorsese), Moneyball (Bennett Miller), War Horse (Steven Spielberg) termasuk filem keempat arahan Clooney sendiri, The Ides of March.



Di kalangan karyawan filem ini dan peminat, kemenangan pertama kali Payne meraih Filem Terbaik pastinya membawa berita gembira. Namun ia menjadi tanda tanya segelintir pengkritik filem berpandangan bagaimana filem ini mampu menandingi kehebatan karya pengarah Gred A seperti Scorsese dan Spielberg.

Kekuatan Payne digambarkan hanya memaparkan plot secara langsung tanpa elemen imbas kembali, silang kata dan muslihat jika dibandingkan dua karya sebelumnya, About Schmidt dan Sideways dianggap drama kompleks.

Sebagai orang lama dalam industri perfileman, pertaruhan Scorsese menerusi Hugo membawa genre keluarga dan pengembaraan bukan calang-calang karya yang harus diketepikan. Dalam filem ini, beliau memaparkan plot me�ngenai pengembaraan seorang anak yatim yang terperangkap di sebuah stesen kereta api, diselubungi kisah misteri mendiang ayahnya pada era 1930-an di Paris.

Reputasi pengarah berusia 69 tahun ini memang hebat kerana pernah menang dua kali Pengarah Terbaik menerusi Gangs of New York pada 2003 dan The Departed (2007). Walaupun rezeki Filem Terbaik tidak memihak pada Scorsese, beliau tetap gembira dengan anugerah Pengarah Terbaik yang dimenanginya.

Bagi Spielberg pula yang pernah cemerlang bersama Schindler’s List (1994) dan Saving Private Ryan (1999) sebagai Pengarah Terbaik turut membawa kelainan pada plot unik mengisahkan perhubungan antara kuda bernama Joey bersama penjaganya, Albert Narracott pada zaman Perang Dunia Pertama.

Kekalahan Scorsese dan Spiel�berg di tangan Payne mungkin memberikan petanda keterbukaan juri menilai karya berbeza tanpa bersandarkan profil terdahulu.

Mengulas kemenangan, Payne menyatakan ia memberikan pencapaian menarik buatnya sambil berkongsi kegembiraan bersama Clooney.

Katanya, dia menjangkakan filemnya sukar menang tetapi keputusan juri memberi kejutan. Dalam mencongak pencapaian filem itu di anugerah lain selepas ini, dia menolak untuk memberikan komen awal mengenai nasib filem ini dalam Academy Awards Ke-84 yang akan diadakan di Kodak Theatre, Hollywood pada 26 Februari ini.

“Memberi tumpuan kepada ramalan pemenang Oscar adalah membuang masa. Saya cuma akan hadir kalau filem saya ini tercalon.

“Bagi saya, pencapaian bersama Golden Globe sesuatu yang membanggakan tapi jika mendapat Oscar lagi, ia seolah memberi tenaga lebih banyak,” katanya.

Bersama The Descendants meraikan kemenangan tertinggi pada Golden Globe Awards kali ini, kenangan manis dikongsi karyawan filem The Artist yang berjaya membawa pulang tiga anugerah termasuk Aktor Terbaik menerusi Jean Dujardin dan Skor Asal Terbaik diberikan kepada Ludovic Bource.

Pengarah The Artist, Michel Hazanavicius, berjaya menarik perhatian juri terhadap karya hitam putih mengisahkan kegemilangan pelakon veteran, George Valentin yang mencipta nama di Holly�wood pada 1927. Kejayaan Dujardin menjiwai Valentin dalam filem genre komedi romantik ini dianggap satu kejayaan besar buat dirinya apatah lagi ini adalah pencalonan pertamanya di acara berprestij itu.

Bagi pengarah berasal dari Paris, Perancis ini, kemenangan filemnya

di pentas acara berprestij itu suatu yang menakjubkan dan memberi kegembiraan sangat besar.

Idea menghasilkan filem ini hadir daripada Hazanavicius sendiri yang mencatat namanya di negara asal menerusi kejayaan filem komedi OSS 117: Cairo, Nest of Spies pada 2006 bersama sekuel, OSS 117: Lost in Rio (2009).

“Selepas OSS, saya berhasrat menghasilkan filem ‘bisu’. Saya tahu jika saya tidak lakukan sekarang, hasrat ini tidak akan menjadi kenyataan sampai bila-bila.

“Dari situ, saya berjumpa dengan beberapa produser untuk bekerjasama dan menerusi pertemuan ini, saya menjelaskan pada mereka, kemungkinan wang pelaburan untuk filem ini boleh rugi di peringkat awal,” katanya merujuk pada pelaburan produser, Thomas Langmann meletakkan 5.2 juta paun untuk menampung bajet keseluruhan, 11 juta paun.

Langmann pula menyatakan kejayaan filem berkonsep ‘silent movie’ ini mengimbau kenangan manis karya mendiang ayahnya, Le Poulet (1965) yang pernah menang Oscar, 47 tahun lalu.

“Pada 1965, seorang pengarah muda dari Perancis mengarah, menulis dan menghasilkan filem pendek dan kemudian berdoa agar keajaiban berlaku ke atas dirinya.

“Pada hari kemenangannya, dia tidak ada wang yang cukup ke Hollywood untuk menerima Oscar. Individu itu ialah adalah bapa saya, Claude Berri yang meninggal dunia tiga tahun lalu dan ia satu penghormatan buat saya menerima anugerah ini,” katanya.




0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button