Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

17:18 0

Muhyiddin yakin Sabah kekal “simpanan tetap” BN


17/01/2012 3:54pm


SEMPORNA 17 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sokongan rakyat Sabah terhadap Barisan Nasional (BN) masih baik dan cukup mantap.


Dalam hal ini, katanya, BN masih yakin dalam mengekalkan Sabah sebagai “simpanan tetap” untuk parti gabungan itu.


"Berdasarkan apa yang dimaklumkan kepada saya dan maklumat yang diperoleh daripada pertemuan dengan pemimpin UMNO dan BN Sabah (di Kota Kinabalu) semalam, sokongan rakyat Sabah terhadap BN masih bagus.


"Namun BN tidak berhenti setakat itu kerana tugas kita ialah memperbaiki hidup rakyat dan program Bantuan Rakyat IMalaysia (BRIM) yang kita lakukan merupakan permulaan kepada banyak perkara yang kita buat untuk mengurangkan beban rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan khas dengan penjawat awam di Dewan Masyarakat Semporna di sini hari ini.


Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas situasi politik terkini di Sabah, negeri yang dianggap sebagai kubu kuat BN.


"Kita bukan angkuh. Berdasarkan maklum balas yang kita terima termasuk daripada Ketua Menteri dan pemimpin BN yang lain, sokongan untuk BN di Sabah masih baik,” katanya.


Mengenai penubuhan parti baru termasuk di Sabah, beliau berkata, sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini membenarkan sesiapa sahaja menubuhkan parti baru asalkan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.


"Kita tidak risau dengan kewujudan parti baru kerana kita sudah melalui proses ini banyak kali tetapi syukurlah rakyat masih menyokong BN dan UMNO kerana mereka tahu BN dan UMNO benar-benar memperjuangkan nasib mereka,” katanya.


Ditanya mengenai ramalan pihak tertentu tentang pelbagai kemungkinan yang berlaku menjelang pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin berkata, BN tidak “terganggu” dengan apa juga kemungkinan kerana BN lebih fokus untuk membela nasib rakyat jelata”. Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran sedia mengkaji cadangan untuk menaikkan kadar elaun yang diberikan kepada guru-guru yang bertugas di kawasan pedalaman Sabah.


"Perkara ini perlu dikaji secara mendalam kerana ia membabitkan kos pengurusan yang mungkin menelan belanja yang agak besar,” katanya.


Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kementerian akan terus membantu membina dan menambah baik infrastruktur pendidikan di Sabah. — BERNAMA


0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button