Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

01:00 0

DIANGGAP simbol keagungan, kehadiran Tahun Baru Cina menerusi tahun naga kali ini memberi lebih semangat dan tuah buat pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, memburu banyak kemenangan dalam perlumbaan musim ini.

Sebagai pengurus pasukan, pastinya Soong Chee Kiong, menggunakan semangat naga memberi ‘ang paw’ besar buat anak buahnya bagi menyuntik inspirasi mencapai sasaran menyapu bersih kedudukan podium Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012.



“Tahun lalu, kami berjaya mempamerkan penguasaan dengan mempamerkan prestasi menakjubkan menerusi Norizman Ismail memenangi gelaran individu keseluruhan kelas CP130 dan membantu memenangi Anugerah Berpasukan Keseluruhan.

“Malah, rakan sepasukannya, Mohd Affendi Rosli turut menamatkan saingan di tangga kedua keseluruhan. Oleh itu, diharap tuah naga tahun ini akan mengukuhkan lagi kedudukan pasukan dengan mendominasi tangga satu hingga tiga,” katanya yang berbelanja besar untuk anak buahnya sempena perayaan tahun ini.





Chee Kiong bukan saja memberi tempoh rehat panjang buat pasukan dan ang pow, malah turut menghadiahkan percutian ke Hat Yai, Thailand sempena Tahun Baru Cina buat pekerjanya.



“Diakui saya berbelanja besar tahun ini berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Mereka diberi lebih ganjaran dengan tempoh cuti panjang sehingga awal Mac dengan gaji dibayar penuh seperti biasa.


“Maka dengan ‘ang pow’ besar dan cuti panjang ini, diharap pasukan akan bersedia sepenuhnya sejurus kalendar perlumbaan bermula sekitar Mac,” katanya.



Ketika ditanya adakah pihaknya optimis mencapai sasaran menyapu bersih kedudukan, Chee Kiong bagaimanapun tidak menafikan ia tugas sukar untuk dicapai pasukan.


“Untuk mencapai kemenangan bukan mudah malah untuk mengekalkan penguasaan itu hakikatnya lebih sukar. Tetapi saya yakin pasukan mampu menepis cabaran itu dengan mudah.



“Keyakinan itu disandarkan pada prestasi pasukan yang mampu menjulang kemenangan menerusi penggunaan jentera baru yang ketika itu sekadar sempurna 80 peratus. Kini, ia 100 peratus sedia maka tidak mustahil buat pasukan melakar kejayaan lebih hebat,” katanya.



0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button