Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

00:29 0


MENGIKUT khabar angin yang tersebar, lembaran 2012 dianggap petanda berakhirnya kehidupan manusia di muka bumi. Namun, lain pula perkiraan mengikut kalendar Cina apabila tahun ini dikatakan membawa banyak kebaikan dan keuntungan kerana di bawah pengaruh naga.

Umum mengetahui, naga bagaikan simbolik agung kepada masyarakat Cina yang melihatnya sebagai haiwan hebat dan mempunyai banyak pengaruh positif. Jadi, kedatangannya amat ditunggu, apatah lagi, sesiapa yang lahir pada tahun naga dikatakan bertuah.


Justeru, bagaimana pula harapan bekas ratu cantik Malaysia 2008, Soo Wincci dan aktor kacak, Steve Yap yang semakin menempa nama dan mengorak langkah lebih luas dalam bidang seni tanah air? Pastinya, mereka juga memiliki impian.
Bertemu kedua-duanya, baru-baru ini pada sesi fotografi khas sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina (TBC), Wincci dan Steve yang pernah beraksi bersama dalam drama Cina tempatan berjaya menonjolkan keserasian. Mereka saling memberi antara satu sama lain.






Apapun, perkembangan terbaru Wincci , 27, kini sudah tentu untuk menyiapkan rakaman album mini bahasa Melayu pertamanya yang mendapat bimbingan dan sentuhan daripada komposer terkenal, Ajai.




Menurut Wincci, sebanyak empat lagu akan dimuatkan dalam album ini.
“Namun, saya baru merakam�kan satu lagu, Jangan Risau yang sepenuhnya hasil ciptaan Ajai, Rabu lalu. Menjalin kerjasama dengan Ajai sangat membuatkan saya selesa kerana dia (Ajai) seorang yang cukup teliti. Bahkan, Ajai juga mementingkan perasaan.
“Dalam menyiapkan proses rakaman lagu, Ajai juga tidak terburu-buru. Dia memberi ruang kepada saya untuk ambil masa menjiwai lirik lagu itu. Baginya, apabila ada perasaan dalam lagu, ia akan menjadi lebih sedap dan puas didengar.
“Saya sangat menghormati Ajai dan kami banyak berbincang dalam mendapatkan sesuatu keputusan. Apapun, keinginan muncul dengan album ini disebabkan saya memang minat dan suka menyanyi lagu Melayu. Bahkan, idola yang menjadi inspirasi kepada saya sudah tentu Datuk Siti Nurhaliza.
“Tak dinafikan, menyanyikan lagu Melayu satu cabaran buat saya. Ini kerana, sudah pasti lenggok lagu Melayu itu saya
tiada kerana bukan orang Melayu. Apapun, saya berusaha melakukan yang terbaik dengan merakam�kannya secara kontemporari,” kata Wincci.
Menurut Wincci lagi, harapannya pada album itu sangat besar dan semoga semuanya sempurna dan mencapai tahap piawaian terbaik. Kata jurucakap produk kecantikan Avon ini, ia disebabkan perasaan dan vokal dimuatkan seiring menjadikan hasilnya cukup ikhlas.
Berbicara mengenai tahun naga, Wincci berkata, dia menjangkakan albumnya dapat disiapkan sepenuhnya selepas TBC kerana dia juga akan muncul pada konsert mini yang berlangsung pada 31 Mac nanti di Actors Studio di Lot 10.
Katanya, sempena tahun naga ini, dia mengharapkan karier seni yang diceburi berjaya membawanya mengorak langkah hingga ke pasaran antarabangsa seperti Hong Kong dan Taiwan.
“Saya seorang yang sangat suka mencuba perkara baru dan cabaran. Jadi, tujuan saya mengembangkan karier di luar negara untuk menimba pengalaman. Semoga saya mampu bertapak di arena antarabangsa,” katanya.
Pernah merakamkan dua album Cina sebelum ini dan aktif dalam peragaan serta lakonan, Wincci tetap mengutamakan pelajaran demi jaminan masa depan. Untuk itu, dia kini melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang perniagaan di Universiti Terbuka Kuala Lumpur.
Menyentuh soal kemeriahan sambutan TBC, Wincci berkata, selain keseronokan dapat mengeratkan silaturahim keluarga dan hubungan persahabatan, dia juga ada perkara yang ditakutkan.
Ujarnya, dia sukar menjaga diet pemakanan hingga menyebabkan berat badannya naik selepas perayaan TBC.
Jiwa antagonis Steve
Bagi Steve, 40, pula, perayaan TBC kali ini nyata amat menggembirakannya kerana bukan saja meraikan tahun naga tetapi disambut dengan keluarga tersayang.

Katanya, ini tahun kedua dia dan isteri, Yap Sook Han, 41, merayakan TBC bersama anak sulung mereka, Yap Xin yang berusia setahun.
Ujarnya, tahun lalu, TBC dirai tidak begitu meriah kerana pasangan isteri yang mendapat anak disarankan supaya lebih berdiam diri mengikut amalan masyarakat Cina. Jadi, kini selepas anak semakin membesar, pastinya persiapan lebih menjurus untuk si kecil.
“Sempena tahun naga ini, saya cuma mengharapkan kehidupan lebih gembira. Malah, karier pun semakin bertambah baik dengan mendapat tawaran skrip yang bagus. Selepas 10 tahun terbabit dalam bidang lakonan, Ombak Rindu adalah filem Melayu pertama saya.
“Biarpun hanya watak sebagai bapa ayam, ia pengalaman baru buat saya. Bahkan, paling
membanggakan filem itu mendapat sambutan penonton. Sebenarnya, tidak mudah untuk pelakon Cina seperti saya memasuki pasaran industri perfileman Melayu.
“Saya pun sepanjang sedekad dalam lakonan, hanya berpeluang berlakon dalam beberapa drama Melayu. Selain itu, dari dulu hingga sekarang, saya lebih cenderung melakonkan watak antagonis. Barangkali muka saya ini memang sesuai dengan watak jahat saja.
“Cuma, saya sangat terharu apabila penerbitan drama Descendant yang akan disiarkan di ntv7 bermula 7 Februari ini memberi peluang melakonkan watak baik. Amat jarang sekali saya menerimanya, tetapi jujur dikatakan berlakon watak baik sangat memberi cabaran besar,” katanya.
Menurut Steve atau nama sebenarnya Yap Leong Chai, lebih mencabar dirinya apabila dia melakonkan watak guru bahasa Mandarin. Ujar lelaki berbangsa Hokkien ini, dia pernah belajar bahasa Mandarin hingga darjah enam saja. Jadi, sedikit kesukaran dihadapinya.
Apapun, sebagai pelakon perkara seperti itu tidak harus dianggap penghalang. Katanya, dia berusaha menjiwai wataknya sebaik mungkin dan begitu juga dengan penguasaan bahasa Mandarin. Jelas Steve, dia gembira semuanya mampu diatasi.
Berbicara mengenai impiannya, Steve yang turut aktif dalam bidang peragaan memaklumkan, dia mengharapkan supaya suatu hari nanti akan ada filem Malaysia berjaya di peringkat antarabangsa.
Katanya, negara ini sangat unik kerana dihuni pelbagai kaum yang berlainan agama dan budaya.
Jadi, katanya, jika elemen budaya tiga kaum ini digabungkan dalam satu filem, ia bukan saja menyumbang pada pengukuhan perpaduan tetapi jelas menunjukkan inilah keaslian Malaysia. Tiada negara di dunia ini sehebat Malaysia yang mempunyai berbilang kaum.



0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button