Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

10:59 0

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu telah menyediakan peruntukan awal sebanyak RM20.2 juta bagi persiapan untuk menjadikan Kuala Nerus sebagai daerah baru di negeri itu.


Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berkenaan baru-baru ini bagi mewujudkan pelbagai pejabat seperti Pejabat Daerah, Pejabat Tanah, Jabatan Hal Ehwal Agama dan sebagainya seperti yang ada di daerah lain.


"Itu merupakan peruntukan awal untuk mewujudkan pusat pentadbiran daerah. Peruntukan itu sebenarnya akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan," katanya selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 500 penerima fasa pertama telah diagihkan RM500 setiap seorang BR1M melibatkan peruntukan RM250,000.





Mohd Nasir berkata, beliau pernah memohon daripada kerajaan negeri supaya daerah itu diumumkan penubuhannya pada 1 Jan lepas sempena tahun baru.





Bagaimanapun, katanya ia tidak dapat dilaksanakan dan berharap ia dapat diumumkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Beliau berkata walaupun penubuhan daerah baru itu bukan janji dalam manifesto Barisan Nasional, tetapi oleh kerana sudah berjanji untuk mewujudkannya, harap ia dapat dipercepatkan.

Mohd Nasir berkata apabila daerah baru itu diwujudkan kelak, ia mampu bersaing dengan daerah-daerah lain kerana ia sudah mempunyai infrastruktur yang menarik dan tidak terdapat di daerah lain.

"Antaranya pusat-pusat pengajian tinggi seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kompleks sukan yang menempatkan stadium, marina tempat berlangsung kejohanan Piala Monsun, Taman Tamadun Islam dan sebagainya," katanya.

Terengganu sekarang mempunyai tujuh daerah bermula di utara iaitu Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman. Manakala Kuala Nerus di bawah pentadbiran daerah Kuala Terengganu. -- BERNAMA




0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button