Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

17:52 0

Mutakhir




SHAH ALAM: Polis memberkas tiga lelaki termasuk seorang lelaki warga Indonesia kerana disyaki mengedar dadah dan merampas sejumlah 155.8 kilogram ganja bernilai lebih RM500,000 serta sebuah kereta mewah dalam dua tangkapan berasingan, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata dalam tangkapan pertama seorang lelaki ditahan di kawasan Lebuhraya DUKE, Gombak oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Gombak kira-kira jam 2 pagi.


"Ketika ditahan, lelaki yang berumur 30 tahun itu sedang berjalan seorang diri di tepi lebuh raya terbabit dan suspek seperti sedang menunggu seseorang.

"Hasil pemeriksaan ke atas individu berkenaan, kita merampas satu ketulan daun kering mampat disyaki ganja seberat 1.9 kg bernilai kira-kira RM3,400," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat menunjukkan suspek adalah tenaga pengajar di sebuah sekolah memandu yang terletak berhampiran Lebuhraya Karak, Kuala Lumpur.

"Dua jam selepas tangkapan pertama dibuat, kita kemudian bertindak memberkas dua lagi rakan suspek (pertama) di sebuah sekolah belajar memandu tempat suspek pertama bekerja," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki termasuk lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah terbabit.

"Suspek kedua yang ditahan adalah penganggur berusia 38 tahun manakala suspek ketiga adalah warga Indonesia berusia 33 tahun," katanya.

Dalam serbuan kedua itu, polis turut merampas 79 ketulan ganja seberat 153.9 kg dengan nilai RM523,260 yang ditemui dalam sebuah stor di pusat belajar memandu terbabit.

"Siasatan menunjukkan 153.9 kg ganja itu boleh dibungkus menjadi 34,200 paket kecil yang mana setiap satu paket berkenaan mengandungi ganja seberat 4.5 gram dengan nilai RM50 bagi setiap paket," kata Tun Hisan.

Turut dirampas ialah sebuah kereta Toyota Alphard milik suspek kedua.

"Siasatan mendapati kumpulan ini aktif mengedar dadah di kawasan sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu dan kita masih menyiasat jika terdapat lagi individu di sekolah memandu berkenaan yang turut menjalankan kegiatan ini bersama tiga suspek terbabit," tambahnya.

Katanya, saringan ujian air kencing juga menunjukkan suspek pertama dan kedua positif dadah.

Ketiga-tiga suspek kini direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA






0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button