Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

22:01 0

SELEPAS tamatnya program realiti Imam Muda musim pertama, ia membawa perubahan besar kepada kehidupan Imam Muda Mohd Taufek Mohd Noh, 29. Dia dan isterinya, Zilawati Abu Hassan kini mampu memiliki rumah sendiri dan turut mengusahakan perniagaan katering.


Taufek yang menjadi pensyarah sambilan di Universiti Selangor, juga aktif memenuhi undangan berceramah di sekitar Lembah Kelang dan memberi motivasi kepada pelajar sekolah.


“Alhamdulillah, dibandingkan dengan kehidupan dulu dan sekarang memang banyak bezanya. Selepas menyertai Imam Muda, orang dah kenal saya lalu saya mengambil peluang itu untuk mengembangkan bakat sebagai penceramah dan juga memberi motivasi. Saya juga bercadang untuk menjadikan bidang motivasi ini kerjaya yang serius dengan membuka pejabat dan mengambil pekerja untuk melancarkan program yang bakal dirancang.

“Sebagai memantapkan lagi ilmu yang ada saya juga berhasrat untuk sambung belajar ke peringkat ijazah sarjana dalam jurusan Islamik atau bersesuaian dengan kelulusan yang ada sekarang iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Pendidikan (Pengajian Islam). Untuk menjadi pakar motivasi yang bagus, saya perlu terus belajar,” katanya.





Sebelum menyertai program Imam Muda, Taufek pernah menjadi pensyarah Bahasa Mandarin di Institut Sains Teknologi Darul Takzim selama setahun.





“Daripada sekolah rendah sampai ke peringkat menengah, saya belajar di sekolah Cina. Saya boleh menguasai bahasa itu dengan baik termasuklah membaca dan menulis,” katanya.

Taufek dan sahabatnya yang juga naib juara Imam Muda musim pertama, Hizbur Rahman Omar Zuhdi, baru saja menghasilkan album nasyid yang berjudul Cahaya Atas Cahaya.

Menurut Taufek, dia sudah lama mengidam untuk menghasilkan album nasyid namun waktu itu agak sukar untuk menggapai impiannya itu.

“Segalanya yang saya impikan tercapai selepas menyertai Imam Muda. Saya sangat bertuah dapat menyertainya kerana segalanya kini berubah. Untungnya saya mempunyai kenalan dalam dunia seni ini dan kebetulan baru-baru ini saya berjumpa dengan abang Ito Lara.

“Saya menyuarakan keinginan untuk membuat album nasyid dengan mengajak rakan Imam Muda yang lain turut sama terutamanya Nuri dan Ashraf. Tetapi Nuri kini menetap semula di Pahang dan Ashraf pula selalu sibuk, jadi akhirnya hanya saya dan Hizbur saja.

“Apabila saya berjumpa Abang Ito Lara dan bercerita dengannya, rupanya dia pun mempunyai hasrat yang sama. Menerusi syarikat abang Ito Lara sendiri, Wahyu Suci Productions, maka hasil kerjasama kami lahirlah album ini. Ia sudah pun berada di pasaran,” katanya.

Empat belas lagu yang dimuatkan dalam album itu, Zikir Munajat 1 - Astaghfirullah, Assalamualaik, Cahaya Atas Cahaya, Zikir Munajat 11 - Thubna Ilallah, Salami Salami, Marhaban, Tolaal Baru A’laina, Zikir Munajat 111 - Laisalaha, Maulaya, Zikir Munajat 1V- Hasbi Rabbi, Selawat Badriyah, Doa Rasulullah dan Berendoi Nasihat.

Taufek juga dalam proses belajar menjadi penyampai radio sebagai persediaan untuk muncul di radio milik Jakim iaitu Salam fm.

“Untuk permulaan ini saya banyak belajar dengan abang Pian (anggota kumpulan nasyid Saujana) yang kini menjadi DJ radio IKIMfm,” katanya.




0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button