Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

21:18 0

SEBAGAI pembuka tirai 2012, Rumah Anak Teater (RAT) tampil mementaskan teater kompilasi V Aku Manusia Berdosa yang mengandungi dua cerita iaitu Kampong Chetek dan Ju & Meo yang akan berlangsung di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka bermula pada malam ini (20 Januari) hingga 22 Januari, jam 8.30 malam.


Namun, tanpa diduga pementasan teater ke-10 mereka yang membariskan barisan pelakon antaranya Dira Abu Zahar, Mislina Mustaffa dan Pekin Ibrahim berdepan dugaan apabila pengarah, Nur Ahmad menarik diri pada saat akhir. Bagaimanapun kata Penerbit Eksekutifnya, Faisal Mustaffa, situasi yang berlaku tidak menjejaskan persiapan mereka untuk memberikan yang terbaik kepada penonton.


“Pengarah ambil keputusan undur diri ketika pertengahan latihan. Sebagai penerbit saya perlu selamatkan pementasan dan sudah ada pelan lain untuk mengatasinya. Ia juga tidak menjejaskan moral semua yang terbabit untuk terus menjayakannya. Tugas pengarahan akan dipikul sendiri oleh Dira, Mislina dan Pekin yang bertanggungjawab mengawal pentas.

“Saya percaya dengan pengalaman yang mereka ada dalam bidang lakonan, mereka akan menggunakannya untuk memberikan yang terbaik dalam pementasan ini. Konsep mungkin lain daripada idea pengarah asal, namun saya percaya mereka takkan menghampakan,” katanya yang aktif mementaskan teater yang sarat menyentuh isu sosial.





Menyentuh lanjut mengenai masalah dengan Nur Ahmad, Faisal memberitahu perjanjian yang sudah dimeterai terpaksa dileraikan akibat tiada persefahaman antara mereka. Biarpun cuba sedaya upaya memujuk, dia akur tiada rezeki untuk melihat gandingan buat pertama kalinya ini menjadi kenyataan.





“Ini keputusan terbaik dan kami kena reda. Sebagai persetujuan bersama, kami menghormati permintaan Nur Ahmad supaya namanya dikeluarkan dari poster. Namun dia bersetuju memberikan kebenaran untuk kami mementaskan hasil tulisannya ini.

Kami menghormati pendirian masing-masing dan profesional dalam keputusan yang dibuat.

“Perkara yang penting bagi saya sekarang ialah komitmen penuh kepada audien yang datang menonton nanti. Saya tiada masa untuk pujuk memujuk. Nak berkompromi pun tak boleh lagi. Jadi saya meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap pelakon saya untuk memberikan kepuasan yang maksimum kepada penonton.

Apatah lagi kebanyakan yang hadir orang yang sama dan setia bersama kami,” katanya.

Segala-galanya sudah bersedia dan Stor Teater DBP malam ini akan menjadi saksi sejauh mana kehebatan teater Aku Manusia Berdosa. Mengambil kira latar belakang pelakonnya, Faisal percaya kredibiliti mereka tidak perlu dipertikaikan lagi oleh penonton yang hadir nanti.

“Ini kali ketiga Dira berlakon teater dan langkahnya dimulakan bersama RAT.

Matlamatnya mahu meneroka bidang lain selain berlakon drama membuahkan hasil positif. Pekin pula sudah banyak berlakon teater, namun kali pertama berlakon dengan RAT. Begitu juga dengan Mislina yang mempunyai pengalaman luas dalam lakonan.

“RAT ditubuhkan dengan matlamat asal mencari ruang untuk penggiat teater berapresiasi. Justeru kami nak tonjolkan isu sosial, isu yang tak pernah disentuh seperti isu bangsa, isu semasa dan imaginasi. Kami juga tampil dengan cerita yang orang nak tahu. Tak kurang juga kami utarakan mengenai sejarah moden, pejuang dan kehidupan.

“Cerita Ju & Meo menggambarkan cinta agung Melayu kerana kisahnya diambil berdasarkan naskhah agung Shakespeare. Kisah ini dibuat dengan menampilkan elemen komedi dan sinikal. Kami mahu buat orang terhibur dan ketawa apabila menonton. Kebanyakan yang hadir adalah penonton yang sama tetapi ketika kami buat pementasan di Pulau Pinang, ada penonton dari Kedah turut hadir.

“Saya bersyukur kerana selain di DBP, kami diundang buat pementasan antaranya di The Actors Studio Lot 10 dan Pulau Pinang. Malah kami juga pernah diundang ke Singapura, tetapi terpaksa ditolak kerana saya berdepan masalah birokrasi dan pelbagai masalah lain. Kami juga pernah dijemput mengadakan pementasan di Istana Budaya, tetapi Nam Ron (pengasas RAT) secara prinsipnya menolak.

“Alasannya IB tak bagi ruang pada setiap peringkat orang untuk menonton. Dia juga tak berminat pentaskan teater muzikal yang sering dipentaskan di situ.

Kami lebih selesa pementasan dibuat terbuka kepada semua peringkat dan pendapatan yang diperolehi. Setiap pementasan akan dirakam dan diterbitkan dalam bentuk VCD bagi memberi peluang untuk mereka yang tidak dapat hadir menontonnya.

“Pementasan kami tak bermotif keuntungan. Apa yang diperolehi, kami akan agihkan secara adil dengan semua pelakon. Kami tak janjikan bayaran yang mahal untuk Dira. Pelakon ini sedar dan menyifatkan teater adalah bentuk latihan untuk memantapkan lakonan,” katanya.

Pementasan pada 22 Januari akan dibuat dua sesi, jam 3.00 petang dan 8.30 malam. Tempahan tiket berharga RM30 dan RM20 (OKU, pelajar dan warga emas) boleh dibuat menerusi SMS kepada nombor 017-2002944 (Faisal Mustaffa) atau menerusi emel rumahanakteater@gmail.com. Info lanjut boleh didapati menerusi Facebook: AKU MANUSIA BERDOSA, Twitter: faisalmustaffa atau #akumanusiaberdosa dan blog www.rumahanakteater.blogspot.com




0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button