Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

01:07 0

SKUAD Harimau Muda A yang akan tampil buat kali pertama di Liga Singapura (Liga-S) musim ini berkemungkinan terpaksa melupakan satu daripada tiga piala yang dipertandingkan apabila tidak dapat beraksi dalam Piala Singapura.

Pengendali negara Ong Kim Swee berkata, mereka hanya berpeluang bersaing merebut gelaran Liga-S dan Piala Liga memandangkan tarikh kejohanan Piala Singapura yang setaraf Piala FA di Malaysia itu bertembung dengan pusingan kelayakan Piala AFC Bawah 22, Jun ini.



“Harimau Muda A ditawarkan tempat untuk merebut semua piala yang dipertandingkan di Singapura, namun kami mungkin terpaksa membuat pengecualian daripada bermain dalam Piala Singapura kerana terbabit dengan Piala AFC.

“Perkara ini masih dalam pertimbangan dan kemungkinan juga tempat Harimau Muda A dalam Piala Singapura akan diisi Harimau Muda B,” katanya ketika dihubungi Arena Metro di Singapura semalam. Sementara itu segala kekusutan yang menyelubungi Kim Swee berhubung penyertaan anak buahnya dalam Liga-S akhirnya terlerai apabila Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengesahkan Stadium Yishun akan menjadi kubu rasmi mereka.




Walaupun stadium itu hanya boleh memuatkan 3,400 penonton, Kim Swee nyata puas hati dengan pemilihan gelanggang itu yang tidak menggunakan rumput tiruan serta dilengkapi kemudahan baik.



“Memang Stadium Yishun tak besar cuma boleh memuatkan lebih tiga ribu penonton saja tapi lokasinya agak strategik kerana hanya mengambil masa 20 minit untuk datang dari Johor Bahru. “Saya harap penyokong negara, terutama dari Johor dapat datang untuk memberi sokongan kepada Harimau Muda A. Saya sempat meninjau stadium itu tadi dan mendapati permukaan padang berada dalam keadaan baik dan tidak akan memberi masalah kepada pemain,” katanya yang berada di Singapura untuk menghadiri taklimat Liga-S.


Menurutnya, jadual perlawanan hanya akan diketahui selepas majlis undian pada 26 Januari ini.



Liga-S akan bermula 9 Februari ini membabitkan 13 pasukan, termasuk tiga dari luar iaitu Harimau Muda A, Brunei DPMM FC serta Albirex Niigata dari Jepun selepas juara 2010 dari Perancis, Etoile FC menarik diri kali ini.


Liga itu akan menggunakan format dua pusingan dengan setiap pasukan bermain sebanyak 24 perlawanan.



Juara liga musim lalu, Tampines Rovers FC akan menentang juara Piala Singapura, Home United FC bagi perlawanan Sumbangsih di Stadium Jalan Besar, pada 5 Februari.



0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button