Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

23:57 0

TAHUN Arnab berlalu dengan meninggalkan pelbagai kenangan manis buat produser terkenal, David Teo. Antara kejayaan indah dirangkul oleh pemilik MIG Productions ini ialah kejutan filem Kongsi yang meraih kutipan sebanyak RM8.9 juta, menjadikannya filem kedua mencatat kutipan tertinggi selepas Ngangkung dengan RM8.18 juta.

Kini, kehadiran Tahun Naga sememangnya dinanti-nantikan oleh produser yang sentiasa positif dengan setiap langkah dan tindakannya ini.

Pada wajahnya sudah terbayang pelbagai kejayaan yang bakal dicapai. Yang nyata, dia tidak pernah tertinggal berkongsi rezeki melimpah yang diraih dengan semua pihak yang dianggap turut membantu menjayakan agenda syarikatnya.
Sebagai meneruskan tradisi MIG, David mengadakan Majlis Kesyukuran dan Gong Xi Fa Cai yang berlangsung dengan meriah di hotel terkemuka di Sunway baru-baru ini. Paling istimewa, ini ialah tahun ke-11 MIG Productions bertapak kukuh di industri seni selepas memulakan operasinya pada 2000 menerusi filem pertama Syukur 21.






Nada David penuh keyakinan apabila berkata Tahun Naga sebagai tahun yang bertuah. Baginya Naga ini di naik taraf apabila dipasang dengan enjin turbo sekali gus terus memacu kejayaan syarikat dan filem terbitannya.




“Tahun 2012 MIG tampil dengan 29 filem, menunjukkan kami bergerak ke depan dengan pantas seiring dengan matlamat yang ingin dicapai iaitu menghasilkan 100 filem menjelang 2013. Kami juga menekankan pembangunan modal insan untuk terus memajukan industri filem dalam jangkamasa panjang.
“Ini dapat disaksikan apabila negara buat kutipan kasar keseluruhan menjangkau RM108 juta dan meletakkan Malaysia negara paling berjaya di Asia Tenggara dalam penerbitan filem. MIG sangat berbangga kerana jadi penyumbang utama sebanyak 22.2 peratus (RM24 juta) untuk jumlah ini. Kita juga menduduki tempat kedua kutipan box office negara Asia selepas China.
“Di antara keseluruhan pembuat filem, MIG masih nombor satu yang mendominasi kutipan filem tempatan. Dalam sibuk buat filem dan drama, usaha pembangunan modal insan terus dibangunkan dengan pengenalan Skim 10 Pengarah Muda yang sudah penuh kuota. Namun atas permintaan bekas pelajar jurusan filem, kuota itu ditambah 10 lagi kerana kami mahu memberi peluang pada orang baru,” katanya.
Tambahnya, semua orang perlu diberikan peluang serta perlu dimulakan untuk menjadi bintang. Pertumbuhan bakat baru sangat penting dalam industri. 2012 juga menjadi tahun pembabitan MIG untuk menggerakkan filem Animasi dan Imej Janaan Komputer (CGI). Sasarannya setahun satu filem dan 500 animator dibangunkan untuk menghasilkan filem ini.
Bercerita lanjut, David yang dilahirkan pada Tahun Naga berkata, pusingannya hanya berlaku setiap 12 tahun sekali. Dia sudah melaluinya sebanyak 4 pusingan dan kini usianya mencecah 48 tahun. Firasatnya, tahun ini penuh dengan tuah yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Pandangan Feng Shui anggap naga suka air dan keluarkan api. Apabila api bakar besi, ia akan bertukar jadi jongkong emas. Tahun ini sangat sesuai untuk orang buat bisnes. Ia juga tahun yang terbaik untuk orang yang lahir pada tahun ini yang perlu agresif buat bisnes. Inilah sebabnya MIG akan tampil menayangkan 19 judul filem.
“Kami berjaya dapat 10 slot wajib tayang dari Finas. Ia adalah paling banyak kerana biasanya hanya 11 filem kami ditayangkan. Selalunya memang kami terbitkan banyak tapi tak dapat ditayangkan. MIG sudah buat 72 filem dan 54 daripadanya sudah ditayangkan. Penghasilan filem yang banyak memberi peluang untuk dapat box office dan jana kutipan tertinggi.
“Setakat ini MIG tak pernah rugi dan kebanyakan filem balik modal. Keramat yang ditayangkan pada pertengahan Januari masih filem Tahun Arnab dan senarai filem Tahun Naga akan dibuka dengan filem Sumpahan Kum Kum yang akan menemui peminat pada 26 Januari. Giliran itu disusuli dengan filem Hantu Dalam Botol Kicap (9 Februari), Adnan Sempit 2 (23 Februari), 7 Petala Cinta (15 Mac), 3 Temujanji (5 April) Nongkrong (10 Mei), X (7 Jun) dan Hanya Aku Cinta Kau Seorang (14 Jun).
“Selepas hari raya, baki filem MIG akan terus menemui penonton. Saya tetapkan hanya 19 filem kerana angka 9 sentiasa bawa tuah dalam masyarakat Cina. Kalau 20 tak bagus kerana belakangnya sudah jadi kosong,” katanya yang tidak melupakan konsep Islamik apabila sering memulakan setiap majlis sidang media dan penggambaran filemnya dengan bacaan doa selamat.
Sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina, David dan keluarganya akan balik kampung di Kampung Jabi, Segamat, Johor untuk meraikannya bersama sanak saudara. Dia akan bercuti empat hari dari Sabtu (21 Januari) hingga Selasa (24 Januari). Sambutan raya sendiri sangat singkat buatnya berbanding cuti sambutan hari raya Aidilfitri.
“Dalam musim raya pun, penerbitan saya masih berjalan apabila beberapa penggambaran dibuat. Biasanya tiga pasukan akan bergerak serentak untuk buat filem. Tapi kalau sambut Aidilfitri saya akan cuti lama kerana bagi peluang tenaga kerja menyambutnya. Untuk Tahun Baru Cina, saya kena buka pejabat untuk buat tarian singa kerana percaya semangat singa boleh halau unsur-unsur yang tak baik,” katanya.
David yang memperuntukkan kos lebih RM100,000 tidak termasuk kos angpau dan hadiah untuk majlis diadakan berkata, MIG berani meneroka pelbagai genre filem dari komedi, seram, aksi dan aksi drama. Malah mereka juga berani menghasilkan filem Islamik walaupun sesetengah penerbit tidak berani melakukannya.
“Kata orang kalau tak mencuba dan tiada permulaan, tiadalah kejayaan akan diraih. Setiap percubaan perlu disokong oleh semua pihak. Saya boleh terima teguran dan kritikan asalkan ia disampaikan menerusi saluran yang betul. Tahun ini juga saya berhasrat kurang menerbitkan drama kerana pentingkan hak cipta. Kalau buat filem hasilnya berpanjangan kerana penerbit akan dapat pulangan bila disiarkan di kaca TV.
“Saya juga akan menilai semula prestasi 75 artis naungan MIG Talent dan akan melepaskan mana yang tak sesuai. Penilaian dibuat daripada aspek disiplin dan pelbagai lagi. Daripada jumlah ini, saya akan melepaskan 25 artis. Ini perlu dilakukan kerana nak bagi peluang kepada artis baru lain mengembangkan bakat mereka,” tegasnya.



0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button