Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

21:51 0


LAGU Berdua Bersatu yang dipersembahkan barisan empat anak muda yang bergelar Forteen ini semakin mendapat tempat dan perhatian daripada peminat. Jumlah tontonan muzik video lagu terbabit sendiri sehingga kini sudah mencatat angka 1 juta ‘hits’. Fenomena sebegini bukanlah suatu yang biasa bagi kebanyakan artis kita.


Walau bagaimanapun, kehadiran mereka di persada seni sering disalah anggap dengan membawakan konsep serta imej ala kumpulan terkenal Korea yang lain atau lebih dikenali sebagai K-Pop.


Menjawab persoalan itu, Forteen yang berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini, menjelaskan bahawa konsep yang ingin diketengahkan mereka adalah sama sekali berbeza dengan K-Pop.

Sebaliknya, mereka lebih mengetengahkan konsep dan imej ala kumpulan vokal popular Barat seperti Westlife dan Boyz II Men.





Selain itu, mereka turut mengagumi kehebatan penyanyi berkumpulan tempatan seperti Phyne Ballerz dan X-Factor sekali gus ingin mengembalikan kegemilangan kumpulan itu pada masa kini dalam imej yang lebih segar.





Kumpulan di bawah label KRU Studios ini dianggotai Saiful Ridzuan Abdul Hamid (Ariz), 23, Muhd Ridzuan Sharifuddin (One), 23, Mohamad Arif Amerais Azhar (Ameer), 22, dan Muhammad Izzul Islam Mazlan (Izzue), 22, bukan sekadar mempertaruhkan paras rupa tapi menampilkan persembahan vokal dan aksi mantap.

Selepas kejayaan single Berdua Bersatu, kumpulan ini bakal merakamkan single kedua yang akan dicipta sepenuhya oleh Edry Abdul Halim.

“Kami akan merakamkan single kedua dan dijangka dipasarkan dalam masa terdekat ini. Insya-Allah.

“Selain sibuk dengan persembahan dan undangan nyanyian yang diterima, kami juga sentiasa berhubung dengan peminat setia melalui laman sosial seperti facebook dan twitter.

“Pada zaman serba canggih ini, interaksi melalui laman sosial adalah satu kemudahan untuk artis berhubung secara terus dengan peminat selain mendekatkan diri kami kepada mereka semua.

“Bagi kami, ini adalah salah satu cara untuk menghargai peminat yang selama ini menyokong kuat aktiviti seni kami selain dapat memberi info terbaru mengenai kumpulan kerana memang akaun yang dibuat ini dikendalikan oleh ahli Forteen sendiri,” jelas One yang mewakili ahli kumpulannya.

Jika diamati dalam kalangan peminat Forteen kebanyakannya terdiri daripada golongan gadis muda dan remaja belasan tahun.

Mungkinkah mereka sekadar terpikat pada ketampanan paras rupa ahli kumpulan ini sekali gus mendorong kemuncak populariti kumpulan ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Ariz menjelaskan, mereka menghargai semua sokongan dan kepercayaan yang diberi peminat dan mereka percaya peminat sekarang sudah bijak menilai bakat yang ada pada artis yang diminati.

“Saya rasa bakat adalah yang perkara paling utama jika ingin pergi lebih jauh dan berjaya dalam bidang seni dan saya juga percaya peminat dapat menilai sendiri bakat kami,” jelas Ariz.

Selain berkebolehan dalam bidang seni suara, ahli kumpulan Forteen turut berkebolehan bermain alat muzik lain. Sebagai contoh, Izzue boleh bermain gitar, bass dan dram, Ameer (gitar, drum) dan Ariz (piano).

Selain berkebolehan dalam bidang nyanyian, salah seorang ahli kumpulan Forteen, Izzue namanya turut menjadi buruan penerbit untuk membintangi drama atau filem terbitan mereka.

Dia yang memulakan karier lakonan bermula dengan drama Gemilang yang ditayangkan TV3, Cita dan Cinta (TV9) pada tahun lalu dan kini semakin popular dalam drama lakonan terbarunya berjudul Aishiteru bergandingan dengan pelakon Erin Malek.

“Saya sebenarnya bermula dalam bidang lakonan sebelum terbabit dalam bidang nyanyian. Namun bidang nyanyian memang bukan perkara yang asing bagi saya kerana sebelum ini sering ‘jamming’ dengan rakan-rakan band saya dulu tapi hanya untuk suka-suka saja.

“Saya kemudiannya mencuba ‘casting’ yang dibuat KRU dalam pencarian penyanyi untuk sebuah kumpulan vokal baru, dan tidak sangka rezeki menyebelahi saya,” terang Izzue.

Buat masa ini, Izzue sedang menantikan tayangan tiga filem lakonannya berjudul King Kapcai, Chikaro dan 29 Februari yang bakal menemui peminat pada tahun ini.

Walaupun baru setahun lebih perkenalan di antara mereka berempat, tetapi keserasian yang ditunjukkan membuktikan mereka sekepala dalam semua perkara.

“Kami memang satu kepala dan boleh layan perangai masing-masing dan kalau timbul sebarang masalah, kami lebih senang berbincang sesama sendiri,” kata Ameer.

Ditanya kepada tiga ahli yang lain, tidakkah mereka mempunyai hasrat mengikut jejak langkah Izzue menjadi pelakon, mereka menjelaskan memang teringin untuk menceburi bidang lakonan dan pengacaraan.

“Seperti yang kita ketahui, bidang seni ini ada pelbagai cabang dan jika ada peluang dan rezeki pada masa akan datang, tidak salah rasanya untuk kami mencuba,” kata Ariz.

Sementara itu, kumpulan ini turut menyimpan hasrat untuk merakam lagu duet bersama-sama artis idola mereka seperti Jaclyn Victor, Adibah Noor dan Datuk Siti Nurhaliza jika diizinkan pada masa akan datang.

Perkembangan terbaru mengenai kumpulan ini ialah mereka baru saja dilantik Kementerian Belia dan Sukan sebagai Duta bagi kementerian terbabit selain daripada beberapa artis tempatan lain.

Forteen akan turun padang dalam sebarang aktiviti yang direncanakan oleh kementerian itu dalam usaha untuk mengajak para belia menjalani kehidupan yang positif dengan melakukan lebih banyak kegiatan yang membawa faedah sekali gus memupuk jiwa belia yang cergas dan sihat.

Pada 11 Januari lalu, kumpulan Forteen diumumkan sebagai Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) menerusi kategori Artis Duo/Berkumpulan Popular yang membariskan nama-nama besar seperti kumpulan 6ixth Sense, Bunkface, 3 Suara (Jaclyn Victor/Ning Baizura/Shila Amzah) dan Meet Uncle Hussain/Hazama.




0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button