Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

21:49 0

BIARPUN memiliki pakej lengkap sebagai artis, sinar buat bintang baru Amanda Imani dalam karier nyanyiannya masih suram. Pelbagai pengiktirafan diraihnya di luar negara sebelum ini juga bukan jaminan untuknya mendapat tempat di hati penggemar seni suara tempatan.


Entah di mana silapnya, Amanda bagaikan masih mencari arah. Apapun, gadis manis ini tidak pernah putus asa dan terus cekal meningkatkan usahanya. Bahkan, bersandar pada jalinan kerjasama dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia, Amanda muncul dengan single berjudul Cemburu.


Amanda yang tampil seksi pada majlis pelancaran lagunya itu, baru-baru ini, memaklumkan Cemburu adalah hasil gubahan sepenuhnya Malique Too Phat. Malah, mereka turut menjadi pasangan duet sekalipun ia kerjasama pertama antara satu sama lain.

“Saya sebenarnya sudah lama teringin bekerjasama dengan Malique. Jadi apabila dia bersetuju, tentulah saya amat berbesar hati. Bekerjasama dengan Malique cukup mudah kerana dia bersikap terbuka serta memberi ruang kepada saya menyuarakan gaya muzik macam mana yang diinginkan.





“Ketika rakaman Cemburu juga, saya berpeluang buat kali pertama melihat cara kerja seorang DJ. Kalau sebelum ini, saya hanya mendengar dalam lagu Too Phat, tetapi dengan kerjasama untuk penghasilan Cemburu, saya melalui pengalaman baru.





“Maklum saja, saya seorang yang suka mencuba perkara yang baru. Justeru, dengan percubaan ini, diharapkan rezeki saya di stesen radio tempatan berhasil,” katanya.

Pernah muncul dengan album pertama pada 2009, Amanda yang mengetengahkan tiga lagu bahasa Melayu iaitu Cinta Seluas Angkasa, Selamilah Cinta dan Kita Sama Saja duet bersama komposer Ajai, dilihat kurang menyerlah.

Belajar daripada pengalaman, Amanda berkata, album sulungnya itu meraih kejayaan di luar negara. Bahkan, tambahnya ketika itu dia menguruskan semuanya sendiri daripada proses rakaman hingga promosi di bawah syarikatnya, Amanda Imani Productions Sdn Bhd. Justeru, jujurnya diakui tidak cukup tenaga kerja.

Menyentuh soal Amanda cuba menumpang populariti Malique selepas gandingan bersama Ajai tidak menjadi, gadis berbintang Capricorn ini berkata dia tidak pernah terfikir kerjasama dengan Malique sebagai jalan pintas.

“Saya memilih bekerjasama dengan Malique kerana berasa selesa dan sesuai. Saya tidak pernah terfikir walau sedikit pun untuk menumpang popularitinya. Lagi pun, saya tidak pernah berasa kekurangan pada diri ini kerana bukanlah tiada peminat langsung. Saya masih ada peminat yang memberi sokongan.

“Malah, sekarang pun saya mula menerima tawaran menjayakan persembahan terbuka anjuran stesen penyiaran tempatan. Jadi, saya sangat berharap langkah selepas ini semakin bersinar dan cemerlang. Saya juga baru berusia 20 tahun dan tidak perlu terlalu khuatir,” katanya.

Amanda yang sebelum ini pernah hangat dengan pendedahan kisah cinta palsu akui buat masa ini, tiada lelaki baru dalam hidupnya selepas hubungan lalu terputus.

Difahamkan, lelaki yang dikaitkan dengan dirinya dulu sudah bertunang dengan wanita lain.

“Semua itu satu pengajaran dan saya akan lebih berhati-hati,” kata–nya ringkas.




0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button