Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

16:59 0

Mutakhir




KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bukan badan yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk memerangi gejala rasuah bola sepak di negara ini, kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Sebaliknya, beliau berkata, skandal rasuah bola sepak adalah satu kesalahan jenayah dan ia adalah di bawah bidang kuasa siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


"FAM hanya boleh menghukum pesalah, sama ada pemain atau jurulatih, apabila mahkamah telah menjatuhkan hukuman terhadap pesalah itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa sembilan ahli skuad negeri itu disyaki terbabit dalam mengatur perlawanan selepas tewas 2-7 kepada MP Muar pada aksi pertama Liga Perdana pada 9 Januari lalu.

Sehubungan itu, Azzuddin meminta semua ahli gabungannya memikirkan jalan terbaik bagi menyekat gejala rasuah bola sepak yang kembali menular di negara ini.

Beliau berkata, tanggungjawab untuk memerangi gejala itu bukan hanya terletak di bahu FAM sebaliknya tanggungjawab semua ahli gabungan yang bernaung di bawah FAM.

"Saya harap persatuan negeri mahupun kelab mengambil berat tetang perkara ini bagi mengelak pemain mahupun jurulatih mereka terjebak dengan gejala itu," katanya.

Azzudin berkata, tanggungjawab persatuan dan kelab juga ialah memberi maklumat yang secukupnya kepada pasukan masing-masing tentang kesalahan melakukan jenayah rasuah bola sepak menerusi penerangan dari pihak SPRM negeri pasukan berkenaan.

Skandal rasuah pada 1994 dan 1995 yang membabitkan lebih 100 pemain serta jurulatih yang disyaki mengatur keputusan perlawanan Piala Malaysia dan Liga Perdana pada tahun itu adalah detik hitam dalam sejarah bola sepak negara.

Lembaga Disiplin FAM kemudian mengambil tindakan menggantung penyertaan antara satu hingga lima tahun terhadap 57 pemain serta seorang penolong jurulatih untuk menghalang mereka daripada terus terbabit dalam gejala tidak bermoral itu. - BERNAMA






0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button