Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

01:55 0

GEORGETOWN: Penuntut jurusan kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) cawangan Transkrian, Nibong Tebal, yang membuat gurauan melampau berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam laman sosial facebook dibebaskan dengan jaminan polis, kelmarin.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada penuntut berkenaan dan hasil siasatan penuntut berusia 24 tahun itu mengaku dia hanya mahu bergurau.




“Walaupun ia hanya gurauan, kami memandang serius kerana dia cuba menakutkan secara jenayah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


“Dalam keterangannya juga, penuntut terbabit mengaku apa yang ditulisnya itu atas kehendaknya dan dia menyesal apa yang dilakukan,” katanya ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis di Tanjung Marina, di sini, semalam.




Kelmarin, penuntut berkenaan membuat kenyataan berunsur ugutan menerusi laman facebooknya untuk meletakkan bom di helikopter yang dinaiki Perdana Menteri dalam lawatannya ke USM minggu depan.




Dia kemudiannya ditahan pada jam 2 petang selepas polis mendapat maklumat mengenai kenyataannya itu.



Menurut Ayub, polis menerima tiga laporan berhubung ugutan terbabit yang disiarkan dalam satu blog dan susulan daripada itu penuntut berkenaan ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.




“Polis turut memanggil keluarganya bagi membantu siasatan dan mereka memberi jaminan memastikan penuntut itu tidak mengulangi perbuatannya dan kami membebaskannya bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan hari ini (semalam),” katanya.



Ayub berkata, polis tidak mahu menyekat kebebasan bersuara, namun rakyat perlu sedar hak kebebasan itu tidak boleh disalahgunakan hingga menggugat ketenteraman awam.




“Kami anggap gurauan ini serius kerana ia membabitkan ancaman terhadap pemimpin negara,” katanya.




0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button