PETALING JAYA – Perselisihan faham yang berlaku menyebabkan seorang wanita warga emas melepaskan geram dengan bertindak membaling sebuah bekas pengisar ke arah jirannya, dua bulan lalu.
Hari ini, wanita itu amat bernasib baik apabila dia dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini dengan bon jaminan berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM1,500, iaitu RM500 bercagar dan RM1,000 tidak bercagar.
Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid memutuskan demikian selepas Che Mah Bakar, 62, mengaku bersalah atas tuduhan mencederakan jirannya dengan membaling alat tersebut.
Che Mah didakwa melakukan perbuatan itu terhadap A. Selvaletchumy, 46, di hadapan rumah tertuduh di No. 523, Blok E, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Jalan PJU 1A/40 di sini pada pukul 5.30 petang, 9 Disember tahun lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di dahinya.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi mengemukakan dakwaan tersebut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu. – mynewshub.my
0 comments