PETALING JAYA – Seorang ibu muda dihukum penjara sehari dan denda RM5,400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menggunakan sekeping kad kredit yang bukan miliknya untuk membeli pelbagai jenis barang keperluan dan sebuah telefon bimbit, dua tahun lalu.
Majistret Nor Afidah Idris memutuskan demikian selepas pembantu kedai percetakan, Wirda Sundariah Khalid, 26, yang pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 29 April 2010 menukar pengakuannya kepada bersalah hari ini.
Ibu kepada seorang anak itu didakwa menggunakan kad kredit Visa Citibank milik seorang pegawai bank, Farah Elena Ahmad untuk membeli pelbagai jenis barang keperluan yang bernilai RM323.75.
Kejadian didakwa berlaku di Farmasi Guardian, Jalan PJU 5/17, Dataran Sunway Kota Damansara di sini pada pukul 9.47 malam, 3 April 2010.
Dia juga didakwa menggunakan kad kredit tersebut untuk membeli sebuah telefon bimbit jenama Sony Ericsson yang bernilai RM700.40 di Mega Comm Cellular Accessories, Tingkat Bawah Lot G35, Kompleks Sungai Buloh, Bandar Baru Sungai Buloh di sini pada pukul 5.46 petang, 11 April 2010.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dengan pengakuan bersalah itu, Wirda Sundariah dihukum penjara sehari dan denda RM2,700 bagi setiap pertuduhan dengan hukuman penjara diperintah berjalan serentak.
Gagal membayar denda untuk setiap pertuduhan, dia akan dipenjara lima bulan lagi selain perlu membayar kos pendakwaan kepada mahkamah sebanyak RM300.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Zahrah Ramli manakala tertuduh diwakili peguam bela, Aiman Basir.
0 comments