SUBANG JAYA: Penyampai radio Sinar FM, Raja Azura menolak dakwaan kononnya dia sudah kembali ke pangkuan bekas suaminya iaitu Adzmin Osman, 38.
Raja Azura, 39, yang lebih mesra dengan sapaan Kak Engku berkata, dia selesa dengan kehidupannya selepas “kembali solo” dan tidak mahu merosakkan kebahagiaan yang dikecapnya sekarang.
"Peluang (kepada bekas suami) sudah diberikan sebelum ini tetapi... Saya sudah malas hendak fikir lagi mengenai perkara itu.
“Saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang. Lagipun saya sibuk dengan anak-anak dan kerja. Perkara lain tidak menjadi keutamaan saya," ujarnya kepada mStar Online di pada majlis Pra-Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011) di sini, Rabu.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan kononnya dia dan bekas suaminya sering dilihat bersama dan berpegang tangan, Kak Engku berkata, ia adalah semata-mata untuk mengaburi mata anak-anaknya yang masih kecil dan tidak mengetahui perceraian tersebut.
Tambahnya, walaupun telah bercerai dia dan bekas suami masih berkawan baik demi anak-anak mereka yang sedang membesar.
"Saya akui ada memegang tangan Adzmin di khalayak sewaktu keluar bersama anak-anak. Tetapi itu hanya untuk menjaga hati mereka yang masih kecil. Anak-anak tidak mengetahui mengenai penceraian tersebut," katanya.
Bagaimanapun ujar kak Engku, dia tidak menolak seandainya suatu hari nanti akan berbaik-baik semula dengan bekas suaminya jika masih mempunyai jodoh.
"Walaupun sudah tidak mengharapkan apa-apa namun saya tidak menolak jika bertemu jodoh dengannya suatu hari nanti. Tetapi situasi sekarang sudah cukup membuatkan saya gembira," ujarnya.
Raja Azura dan Adzmin berpisah pada 28 September 2010 selepas hampir sepuluh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Megat Muhammad Raziq,10, Megat Luqman Hakim,9, dan Puteri Mkia Maizurah, 6.
Adzmin merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof.
0 comments