DUA tahun lalu apabila pelawak terkenal Saiful Apek ditahan polis kerana disyaki mengambil dadah jenis ganja bersama tiga lelaki lain dan seorang wanita di sebuah kondominium di Bandar Sunway, ramai peminatnya terkejut.
Begitu juga dengan dirinya yang tidak percaya dia ditahan, digari dan direman di dalam lokap selama empat hari. Katanya, dia sedar semuanya yang berlaku bukanlah daripada satu babak filem lakonannya sebaliknya kejadian itu satu realiti yang berada di muka depan akhbar tempatan.
Mahu tidak mahu, dia harus mengharungi segala prosedur sebagai tahanan. Hari pertama ditahan dilokap dua tahun lalu, ribut dalam hatinya, tiada siapa yang tahu. Resah dan gelisah, bimbang dengan pandangan masyarakat terhadapnya.
Kelmarin, kes dadah membabitkan Apek telah mula dibicarakan di mahkamah. Apek juga telah disahkan positif dadah jenis ganja dan dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.
Di corong telefon ketika Kosmo! menghubunginya, Apek tetap optimis dengan apa yang berlaku dan bersedia apa sahaja kemungkinan keputusan mahkamah kelak.
Kosmo!: Sejak mula ditahan dan sehingga kini apabila kes dadah Apek mula dibicarakan di mahkamah adakah ia menjejaskan rutin harian Apek?
APEK: Setakat ini sejak saya mula ditahan sehingga hari ini ia tidak menjejaskan apa-apa sebab saya masih dijemput oleh pihak stesen televisyen dan masih muncul dalam program siaran langsung. Tahun ini saya akan muncul dengan empat buah filem iaitu Rock 2, Hantu Air, Pak-Pong dan Sofazr … Jiwa Kacau. Peminat pun banyak memberi sokongan kepada saya.
Apek tertekan atau tidak sepanjang menghadapi kes ini?
Tipulah kalau saya kata saya tak tertekan, mula-mula ditahan ya, memang saya tertekan. Tetapi lama-kelamaan saya boleh menerima realiti dan menghadapinya dengan tenang. Saya masih tidak bersalah sebab itu saya dibicarakan. Proses perbicaraan berjalan berdasarkan bukti yang ada dan saya hormati prosedur dan jalani tanggungjawab saya walaupun terpaksa turun naik mahkamah. Paling penting adalah keluarga dan anak-anak saya percaya kepada saya.
Bersedia dengan segala kemungkinan keputusan mahkamah?
Sebagai seorang warga Malaysia daripada pengajaran kes-kes sebelum ini, mahu atau tidak mahu keadilan itu telus dan saya percaya dengan undang-undang di negara kita. Saya yakin, saya akan diadili sebaik mungkin. Kecuali berlaku satu keputusan yang memerlukan saya merayu sehingga dapat buktikan yang saya tidak bersalah.
Boleh kongsi pengalaman Apek ketika berada di lokap?
Ketika bermalam di lokap selama empat hari saya tidak apa nak rasa rasa. Saya sudah biasa lakukan penggambaran di penjara, sedikit sebanyak ia tidak jejaskan fizikal saya tetapi minda saya tahu apa yang berlaku adalah realiti. Banyak tanda tanya di fikiran.
Bayangkan saya berada di dalam ruang yang sempit dan sunyi, fizikal saya kalah dengan dinding dan jeriji besi, sehari pun memang menyeksakan. Saya tabik kepada mereka yang boleh tahan berada dalam keadaan seperti itu (penjara) untuk tempoh yang lama.
Pengajaran yang Apek peroleh daripada apa yang berlaku?
Saya bermula daripada bawah dan apabila berjaya mencipta nama saya berada di sini (lokap). Kejayaan tidak menjamin supaya saya tidak melalui proses ini (ditahan). Ada hikmah sebalik apa yang berlaku kerana kini saya lebih menghargai kebebasan. Saya rasa nikmat dapat tidur di tilam empuk dan minum kopi setiap pagi, saya lebih menghargai kehidupan saya.
Adakah kes ini memberi kesan kepada keluarga dan anak-anak Apek?
Anak-anak saya berbangga saya adalah bapa mereka meskipun selepas apa yang berlaku. Alhamdulillah saya masih mendapat sokongan penuh daripada keluarga. Menjadi seorang bapa, kes ini benar-benar mematang saya.
Nasihat Apek kepada anak muda di luar sana mengenai dadah.
Sepanjang pengalaman saya, 70 peratus yang ditahan tidak bersalah dan teraniaya, bukan saya menuduh pihak polis tidak cekap, polis hanya menjalankan tugas terserah kepada kita untuk menggelakkan diri daripada perkara-perkara negatif.
Buat anak muda dan remaja jangan sewenang-wenangnya berada di mana-mana tanpa pengetahuan ibu bapa atau mereka yang terdekat, tidak mustahil kita boleh berada di tempat yang salah dan pada masa yang salah.
Kosmo
0 comments