Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

08:32 0

GEORGETOWN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), akan menggugurkan 42,025 pengundi yang diragukan statusnya daripada senarai daftar pemilih selepas tempoh semakan yang diberikan kepada orang ramai dan parti politik sejak November tahun lalu tamat semalam.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, sebelum ini, SPR meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memeriksa senarai daftar pemilih yang berjumlah 12.46 juta pengundi dan daripada jumlah itu, 42,051 pengundi didapati statusnya meragukan.



Menurutnya, pihaknya hanya menerima 50 maklum balas daripada pemilih dan waris sehingga semalam walaupun tempoh semakan yang sepatutnya tamat penghujung tahun lalu itu dilanjutkan sebulan atas permintaan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC).

Beliau berkata, maklum balas itu diterima daripada tujuh negeri iaitu Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala tiada maklum balas diterima dari negeri lain termasuk Sabah yang membabitkan 13,000 pengundi meragukan statusnya.

“Pemeriksaan di JPN mendapati 26 maklum balas diterima menunjukkan rekod pemilih terbabit adalah aktif, 24 lagi didapati tidak aktif.

“Kami tidak mempunyai pilihan sekarang dan menggugurkan 42,025 pengundi yang diragukan statusnya, kami memberi masa mencukupi untuk mereka memeriksa senarai itu di laman web SPR dan memberi cakera padat (mengandungi senarai terbabit) kepada parti politik,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan taklimat kepada pengurus dan penolong pegawai pengurus SPR di sini, semalam.

Selain itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya kini dalam proses menentukan kriteria dan syarat yang perlu diikuti rakyat Malaysia di luar negara untuk membolehkan mereka mengundi.

“Kami hendak tentukan jenis rakyat Malaysia di luar negara yang boleh mengundi ini, adakah orang yang tinggal 20 atau 30 tahun di luar negara dan tidak tahu apa-apa mengenai Malaysia boleh mengundi.

“Kami akan ikut negara lain contohnya ada yang tetapkan tiga tahun kena balik ke Malaysia, ada empat tahun, Singapura dia berikan tempoh tertentu, seperti di Amerika Syarikat seseorang itu mestilah seorang pembayar cukai,” katanya.

Katanya, pihaknya akan berbincang dengan panel SPR mengenai perkara itu sebelum membawanya ke PSC untuk tindakan susulan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata, 3.7 juta pengundi belum mendaftar untuk menunaikan tanggungjawab mereka dan setakat ini hanya 12.4 juta daripada 16.1 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas yang layak mendaftar sebagai pengundi sudah berbuat demikian.

0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button