AKTOR muda Johan Ariff As'ari, 26, yang makin popular nampaknya tidak kering dengan gosip-gosip hangat. Setiap kali berlakon dalam drama, namanya pasti dikaitkan dengan heroin drama tersebut.
Selepas berpatah arang dengan aktres Izreen Aminda dan gosip kononnya bercinta dengan Fasha Sandha ketika berlakon dalam drama Cinta Elysa, terbaru Johan dikatakan intim dengan dengan aktres gandingan dalam drama yang sedang hangat ditayangkan kini, Pelangi Kasih iaitu Nabila Huda, 27.
Ketika Kosmo! bertemu dengan mereka pada majlis Anugerah Juara Lagu ke-26 di Stadium Putra Bukit Jalil, baru-baru ini terlihat jelas kemesraan dan keakraban mereka. Johan yang kini tampil dengan imej Botak kerana penggambaran filem Juvana tenang menjawab segala persoalan skandal cintanya, begitu juga dengan Nabila.
Kosmo!: Benarkah Johan kini sedang bercinta dengan Nabila?
JOHAN: Bercinta itu tidak tetapi bersahabat itu ya. Kami memang rapat sejak berlakon sebagai pasangan suami isteri dalam drama Pelangi Kasih.
Apa yang membuatkan Johan suka bersama dengan Nabila?
Kebetulan kami lahir pada bulan yang sama dan bernaung di bawah bintang yang sama iaitu Sagittarius, saya lahir pada 3 Disember, manakala dia 2 Disember, jadi perangai kami agak sama terutamanya, kelam-kabut. Dia macam saya, dan saya macam dia, cuma beza saya lelaki dan dia perempuan. Bila perangai sama, semua benda jadi mudah dan serasi. Dia sangat peramah dan selalu memberi nasihat dan tunjuk ajar pada saya. Setakat ini, dia antara kawan perempuan yang rapat dengan saya.
Setiap kali berlakon drama sudah menjadi tradisi Johan akan rapat dan mempunyai skandal dengan aktres yang digandingkan. Sengaja bikin skandal untuk gimik menaikkan rating drama atau memang benar bersahabat dengan Nabila?
Saya lebih selesa orang menilai saya kerana bakat lakonan bukannya gosip, tetapi perkara seperti ini di luar kawalan saya. Cinta dan berkawan tidak boleh dipaksa, apa yang mampu saya buat adalah berlaku jujur dan memang saya bersahabat dengan Nabila, itu bukan satu gimik. Saya rasa saya tidak salah untuk berkawan dengannya.
Jika ditakdirkan, bercinta dengan Nabila bagaimana?
Saya serah jodoh di tangan Allah, saya terima siapa sahaja yang ditentukan sebagai jodoh saya.
SEMENTARA itu, Nabila yang duduk di sebelah Johan juga mengakui dia memang sedang berkawan rapat dengan Johan dan tidak menolak andai suatu hari nanti mereka ditakdirkan jatuh cinta.
Kosmo!: Johan kini kawan lelaki paling rapat Nabila?
NABILA: Ya, sepanjang berlakon belum pernah rapat dengan pelakon lelaki sepertinya, ini kali pertama saya jumpa orang seperti Johan dan saya bersyukur kerana dia menjadi kawan saya.
Bagaimana boleh rapat dengan Johan?
Kami berlakon sama dalam drama Pelangi Kasih, pada mulanya dia seorang yang pendiam dan sangat pemalu. Saya bimbang, jika kami tidak serasi di luar set penggambaran, nanti nampak kekok apabila berlakon. Jadi, saya yang mula menegurnya dan akhirnya kami rapat sehingga hari ini.
Kenapa suka berkawan dengan Johan?
Perangai kami sama, apabila kami berjumpa kami jadi diri sendiri, mungkin sebab itu kami senang berkawan. Dia kawan yang baik dan setakat hari ini tidak pernah ada kawan lelaki lain yang cukup rapat dengan saya selain Johan.
Johan di mata Nabila?
Dia seorang yang kelakar dan baik. Walaupun perangai kami sama tetapi ada banyak perkara yang terlalu bertentangan dengan saya seperti cara hidup kami yang berbeza. Saya sudah lama dalam bidang seni dan dia masih baru, ada perkara yang dia tahu dan saya tidak tahu, jadi kami banyak belajar antara satu sama lain.
Kalau kalian ditakdir bercinta dan ditemukan jodoh?
Apa yang saya tahu setakat hari ini hubungan kami tidak sampai tahap bercinta tetapi saya tidak tahu apa yang akan jadi pada masa hadapan. Saya tidak boleh halang jika perasaan itu timbul. Jodoh di tangan Allah, saya terima jika itu yang berlaku.
0 comments