Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

20:09 0

KUALA LUMPUR – Sebanyak 17,313 pengusaha pengangkutan awam darat didapati gagal membuat pendaftaran semula melalui Program Pendaftaran Semula yang dilaksanakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada tahun lalu.

Akibatnya, kesemua pengusaha yang gagal mendaftar semula tersebut tidak akan menerima Lesen Pengendali (OL) daripada SPAD dan sebarang operasi mereka dalam pengangkutan awam selepas ini dianggap sebagai operasi haram.

“Program pendaftaran semula ini telah dilaksanakan dari April hingga Disember 2011 dan sebanyak 74,612 pengusaha telah mendaftar semula sepanjang tempoh yang tersebut. Tetapi seramai 17,313 lagi pengusaha telah gagal untuk berbuat demikian dan pengusaha yang gagal mendaftar semula dengan SPAD, lesen mereka dikira batal atau luput,” kata Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar melalui satu kenyataan media hari ini.



Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, perlaksanaan sistem OL oleh SPAD bermula 1 Februari lalu bertujuan mempermudahkan urusan lesen dan permit oleh pengusaha pengangkutan awam darat dan pada masa ini OL dikeluarkan secara berperingkat bermula 31 Januari lalu kepada pengusaha-pengusaha kenderaan pengangkutan awam darat yang telah mendaftar semula.

Tambahnya, melalui OL pengusaha dapat meminimakan urusan mereka dengan SPAD dari segi pembaharuan lesen dan permit iaitu hanya perlu memperbaharui lesen dan permit dalam tempoh antara satu hingga tujuh tahun bergantung kepada tempoh sah lesen.

Justeru, katanya, pengusaha kini hanya perlu memantau satu tarikh luput berbanding sistem dahulu yang mana setiap kenderaan mempunyai tarikh luput yang berlainan.

“Bayangkan jika satu pengusaha mempunyai 300 kenderaan, pengusaha tersebut terpaksa memantau tarikh luput untuk 300 lesen. Dengan sistem OL akan ada hanya satu tarikh luput untuk kesemua 300 kenderaan dan ini menjimatkan masa pengusaha sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan memperbaiki mutu perkhidmatan,” katanya lagi.

Menurutnya, buat masa ini pengeluaran OL dilakukan secara berperingkat dan hanya kadar minima bagi menampung kos cetakan akan dikenakan dan pengusaha yang belum menerima OL hanya perlu memastikan permit dan lesen mereka tidak luput atau terbatal.

0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button