Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

17:53 0

KUALA LUMPUR – Demi mengejar kemewahan hidup, wanita tempatan secara sukarela menjadikan diri mereka sebagai keldai dadah kepada sindiket antarabangsa dan kebanyakan daripada mereka tahu bahawa barang yang mereka bawa adalah dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan awal polis mendapati wanita tempatan yang kesempitan wang atau menghadapi masalah kewangan mudah menjadi mangsa sindiket itu untuk menyeludup dadah ke luar negara.

“Lebih menyedihkan kebanyakan keldai dadah ini tahu bahawa kandungan barangan yang dibawa mereka ialah dadah dan mereka secara sukarela menjadi keldai kepada sindiket itu demi mendapatkan puluhan ribu ringgit,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara itu terbongkar apabila polis menahan seorang wanita tempatan yang dijadikan keldai dadah di Taman Orkid, Cheras pada 1 Februari lalu serta dua anggota sindiket dadah warga Nigeria dan Guinea dan merampas 2.8 kilogram syabu daripada mereka.

Katanya, ketika disiasat wanita tempatan itu mengakui bahawa beliau tahu dirinya dijadikan keldai dadah dan mendedahkan bahawa beliau juga bertanggungjawab merekrut beberapa anggota baru bagi membolehkan sindiket itu bergerak aktif di beberapa kawasan terutamanya di Lembah Klang.

Beliau berkata, melantik wanita tempatan untuk merekrut anggota baru merupakan modus operandi sindiket itu untuk terus menjadikan wanita negara ini sebagai sasaran mereka untuk membawa dadah sintetik jenis Amphetamine.

Mohd. Noor Rashid berkata, menurut statistik polis, pada tahun lepas seramai 76 orang rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan dadah dan daripada jumlah itu 49 orang merupakan keldai dadah.

“Daripada 49 orang keldai dadah yang ditahan itu separuh daripada mereka merupakan wanita,” katanya.

Beliau berkata, kesemua 49 keldai dadah ditahan di negara asing seperti China seramai 13 orang, Indonesia (13), New Zealand (10), Thailand (5), Singapura (3) dan seorang masing-masing Australia, Belanda, Argentina, Macau dan Pakistan. – BERNAMA

0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button