Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

18:02 0

TAPAH – Seorang anggota tentera adalah antara lima lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan Tapah dan Teluk Intan sejak setahun lepas.

Kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun itu ditahan dalam operasi kabel di kawasan ladang kelapa sawit Changkat Rembian, Jalan Bidor di sini semalam.

Anggota tentera terbabit adalah ketua kumpulan itu dan hasil siasatan mendapati lelaki terbabit telah lari daripada menjalankan tugasnya sejak empat tahun lepas, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Supritendan Abdullah Arshad.

“Polis menemui sebuah van dan kereta jenis Proton Satria, dua walkie talkie, dua telefon bimbit, sepasang t-shirt warna biru, 10 gulung kabel TNB, satu alat pemotong dan satu gergaji besi,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah curi motosikal.

Abdullah berkata, kumpulan itu disyaki terlibat dalam enam kes mencuri kabel di kawasan Tapah dan empat kes di Teluk Intan.

“Mereka memilih kawasan pedalaman yang jauh daripada kampung dan orang ramai bagi mengelak dikesan,” katanya.

Katanya lagi, kesemua mereka ditahan reman sehingga 11 Feb dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button