KUALA LUMPUR — Seorang pegawai Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas sebagai Pegawai Staf United Nations Interim Force In Lebanon (Unifil) meninggal dunia Isnin lepas akibat sakit jantung.
Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, Allahyarham Leftenan Kolonel Habibullah Ismail, 42, meninggal pada pukul 8.30 malam di Hospital Jabal Amel, Tyre.
Jenazah Habibullah yang memegang jawatan sebagai Pengarah Awasan di Pusat Operasi Bersama, Markas Unifil dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 8.30 malam esok (9 Feb).
Menurut kenyataan itu, jenazah kemudiannya akan dipindahkan ke Pangkalan Udara Subang untuk sembahyang jenazah di Masjid Pangkalan Udara Subang.
“Jenazah akan diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Alor Setar Kedah untuk urusan pengkebumian jenazah di tempat kelahiran beliau di Batu 2 setengah, Lorong Madrasah Tambak Bunga, Jalan Kuala Kedah,” kata kenyataan itu.
Habibullah meninggalkan seorang balu iaitu Maryani Mahadzir dan tiga orang anak iaitu Muhammad Hilman Hafiz, 13, Muhammad Haziq Haikal, 9, dan Mirza Hadeerah, 6. — BERNAMA
0 comments